Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak bagi setiap rakyat Malaysia untuk mengamalkan agama kepercayaan masing-masing.\
Menurut Perdana Menteri, atas dasar itulah, kerajaan Pusat bersetuju dengan langkah penyelesaian 10 perkara berkaitan penganut Kristian khususnya melibatkan isu Bible pada 2011.
Bagaimanapun jelas beliau, persetujuan tersebut mestilah tertakluk kepada kerajaan negeri, memandangkan setiap negeri di negara ini mempunyai enakmen agama yang tersendiri.
“Langkah berkenaan dibuat sebagai satu cara untuk melindungi hak itu dan menguruskan kepelbagaian antara kita,” katanya dalam perutusan sempena Krismas dalam blognya, najibrazak.com hari ini.
Najib berkata, sebagai warganegara, semua pihak perlu mensyukuri nikmat kepelbagaian etnik, bahasa serta agama yang dirahmati kepada Malaysia dan perkara itu perlu diurus dengan baik.
Tambahnya, seluruh rakyat perlu hidup secara 1Malaysia kerana gagasan itu melambangkan perpaduan kolektif dengan menekankan keharmonian dan toleransi di antara kaum.
“Saya berbangga dengan keamanan dan keharmonian yang telah kita capai sejak Merdeka dan kepelbagaian yang diraikan ini menjadikan Malaysia negara luar biasa,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/rakyat-bebas-amal-agama-masing-masing-8211-najib-1.40644#sthash.WqFftvVC.dpuf
0 comments:
Post a Comment