Kempen “moderation” atau kesederhanaan. Ia memang baik dan sedap didengar. Seolah-olah ini selari dengan konsep kesederhanaan yang digerakkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Kesederhanaan memang dituntut dalam kehidupan manusia, apa lagi di sebuah negara pelbagai kaum, budaya, agama dan laras fahaman politik. Tetapi tidak semua yang menonjolkan diri sebagai pejuang kesederhanaan benar-benar sederhana.
Malah lebih ekstrem daripada yang mereka labelkan ekstremis. Kempen kesederhanaan yang digerakkan oleh sebuah akhbar bahasa Inggeris ini agak mencurigakan. Tafsiran kesederhanaan akhbar ini juga menimbulkan persoalan seolah-olah bukan Melayu menjadi mangsa sikap ekstrem orang Melayu. Padahal hakikatnya orang Melayu kelihatan ekstrem itu hanya membendung agenda penghakisan kedudukan orang Melayu, institusi Raja dan agama Islam seperti terdapat dalam Perlembagaan.
Kesederhanaan ini bukan perkara baharu kepada kita. Cuma tidak dijenamakan secara besar-besaran sebagai satu gerakan sosial. Perkara ini berjalan secara semula jadi sesuai dengan fitrah manusia yang menjunjung kehidupan yang aman damai dalam kepelbagaian.
Kempen kesederhanaan ini didokong oleh liberalis dan sekularis Melayu. Kedudukan mereka sebagai Melayu dipergunakan untuk menunjukkan gagasan ini datang daripada orang Melayu. Sesetengah daripada mereka menyumbangkan pemikiran itu dengan menulis dalam akhbar berkenaan dan menjadi barisan hadapan untuk mendapat sokongan golongan Melayu elit.
Membukakan ruang seluas-luasnya kepada golongan liberalis dan sekularis Melayu menyerang atau mempengaruhi kaum sendiri mengikut agenda kesederhanaan yang mencurigakan ini adalah tindakan bijak tetapi nakal. Yang tidak bijak ialah Melayu yang diperalatkan bagai kayu yang menjadi hulu kapak digunakan untuk menumbangkan pohon bangsanya sendiri. Bukan Melayu yang menggerakkan kempen ini tidak perlu mengotorkan tangan kerana Melayu boleh digunakan untuk melemahkan Melayu sendiri.
Walaupun hampir berjaya menutup wajah cauvanis mereka yang sebenar kerana elit Melayu dijadikan topeng sebagai pengenalan diri tetapi kita masih boleh membaca yang tersirat. Hakikatnya sesetengah Melayu yang diangkat menggerakkan kempen ini adalah golongan yang ditolak kerana pemikiran yang liberal dan sekular. Pada masa sama inilah juga antara pejuang hak asasi yang menuntut diberi hak yang sama rata tanpa melihat asas-asas dalam Perlembagaan sekali gus menghakis hak-hak orang Melayu.
Melayu elit
Melayu elit harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan kempen kesederhanaan yang menjurus kepada sebelah pihak sahaja. Kita tidak menolak kesederhanaan. Tetapi yang digerakkan bukan kesederhanaan sebaliknya mempergunakan sentimen anti-Melayu sekarang ini. Gerakan anti-Islam dan anti-Melayu adalah terancang dengan sokongan media yang berpengaruh dalam kalangan masyarakat elit.
Kempen ini secara tersiratnya telah memberikan kesan yang tidak baik kepada konsep kesederhanaan yang dicetuskan oleh Najib. Tetapi secara tersuratnya kelihatan selari dengan gagasan yang dibina oleh Perdana Menteri. Memberikan keutamaan kepada bahan tulisan yang kelihatan Melayu bersikap ekstrem adalah antara modus operandi. Perkara ini terlindung kalau tidak diteliti agenda-agenda yang tersirat berteraskan rekod yang sebelum ini.
Dalam isu kalimah Allah misalnya, mereka memberikan tumpuan yang berat sebelah antara parti cauvanis Cina, DAP Pulau Pinang dengan kumpulan pendesak Melayu, Perkasa. Apabila Perkasa melancarkan ugutan membakar Bible bahasa Melayu yang memuatkan kalimah Allah yang diputuskan tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, akhbar berkenaan menggambarkan Perkasa dan Presidennya, Ibrahim Ali sebagai “ekstremis.”
Tetapi nada mereka berbeza apabila DAP Pulau Pinang membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah walaupun mereka tidak ada kuasa untuk berbuat demikian. Ini kerana negeri yang tidak mempunyai Sultan, kuasa sebagai ketua agama Islam terletak kepada Yang di-Pertuan Agong. Tindakan DAP Pulau Pinang itu bukan sahaja menghina perundangan Islam malah turut menafikan kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama bagi negeri berkenaan.
Isu ini tidak diperbesarkan walaupun tindakan DAP Pulau Pinang boleh dianggap menghina Yang di-Pertuan Agong dan memiliki ciri-ciri ekstremis. DAP Pulau Pinang lebih ekstrem berbanding Ibrahim Ali kerana melancarkan provokasi mencampuri sistem perundangan Islam dalam isu kalimah Allah. DAP Pulau Pinang juga melarang perarakan Maulidur Rasul sudah dua tahun berturut-turut. Larangan ini dilihat satu lagi provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama. Semua tindak-tanduk ekstrem ini tidak dijadikan tumpuan seperti mereka menyerang Ibrahim Ali dan Perkasa. Inikah kempen kesederhanaan?
Baru-baru ini muncul sekumpulan yang digelar 25 orang Melayu ternama termasuk pesara pegawai tertinggi kerajaan yang mendesak kerajaan mengadakan dialog untuk merasionalkan kedudukan Islam di negara ini. Kumpulan ini mendapat sokongan akhbar berkenaan kerana dilihat selari dengan agenda tersirat kempen kesederhanaan. Tetapi diharapkan kumpulan tersebut tidak mudah membiarkan diri dipergunakan untuk memecahbelahkan orang Melayu.
Kepada mereka yang mengikuti kecenderungan politik akhbar ini menjelang PRU-13 yang lalu, kesimpulan yang boleh dibuat daripada keseluruhan laporan adalah peningkatan kuasa politik bukan Melayu yang sangat membanggakan dan bersedia untuk mengambil alih kuasa. Keyakinan ini disuntik kepada masyarakat termasuk Melayu elit bahawa “Ini kalilah” akan menjadi kenyataan.
Awas, jangan terperangkap dengan tindakan ekstrem yang berselindung di sebalik kempen kesederhanaan ini. Tetapi agak malang kerana ada pihak dalam kerajaan sendiri yang bukan sahaja terpengaruh malah mengiktiraf gerakan ini. Pihak dalam kerajaan jangan terpengaruh dan menganggap kelantangan mempertahankan yang tersurat dalam Perlembagaan sebagai ekstremis.
0 comments:
Post a Comment