Monday 1 December 2014

AKTA HASUTAN MEMPERKUKUHKAN PERPADUAN RAKYAT.


Keputusan mengekalkan dan mengukuhkan Akta Hasutan 1948 memperlihatkan kepekaan dan keprihatinan Perdana Menteri mengutamakan keteguhan dan survival masa depan hubungan etnik dan sistem persekutuan di Malaysia.
Keputusan meminda akta itu dan memasukkan dua peruntukan khas dengan tujuan untuk melindungi agama Islam dan agama lain, serta mengambil tindakan terhadap pihak yang menghasut agar Sabah mahupun Sarawak keluar dari Malaysia, bersesuaian dengan perkembangan sosiopolitik semasa.
Kini, kita menyaksikan bagaimana dengan mudahnya sesetengah pihak, melalui pelbagai platform, termasuk melalui media sosial, memperlekeh agama, bahasa, budaya, malah sistem beraja di negara ini. Juga, kita saksikan, untuk beberapa tahun ini, pihak tertentu menghasut rakyat agar Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia.

Lindungi agama daripada dihina
Sebagai sebahagian daripada transformasi politik, sebelum ini Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan pada tahun 2012. Cara terbaik untuk menangani percubaan sesetengah pihak menimbulkan ketegangan dan kekacauan melalui kenyataan dan tindakan emotif dan provokatif adalah melalui undang-undang yang tegas. Kita tidak boleh gadai masa depan negara hanya untuk memuaskan hati pengkritik dan pejuang hak asasi manusia, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam negara dan Barat. Yang menanggung bahana dan risiko, ialah rakyat negara ini dan bukannya aktivis Barat, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini di negara ini. Mereka yang waras, tentu sedar akan justifikasi, mengapa akta berkenaan perlu dikekalkan, kerana ia bukan saja melindungi agama Islam daripada dihina dan diperlekeh, tetapi juga agama lain. Dalam sebuah masyarakat majmuk pelbagai agama, budaya dan kepercayaan, kita tidak boleh biarkan mana-mana individu cuba mengocakkan keharmonian, kesejahteraan dan kedamaian negara ini.
Dalam konteks percubaan pihak tertentu di Sabah dan Sarawak, melalui gerakan SSKM - Sabah, Sarawak Keluar Malaysia - ini jawapan terbaik untuk membendung perbuatan mahupun tindakan yang jelas cuba merosakkan integrasi nasional serta keteguhan sistem persekutuan negara. Jika kita biarkan elemen perosak ini bermaharajalela di negara ini, bermaksud kita biarkan mereka untuk memecahkan negara ini. Kita tidak boleh biar semangat kenegerian melampau di negara ini, dengan gagasan seperti Sabah untuk orang Sabah, Sarawak untuk orang Sarawak.
Jika kita lihat kenyataan sesetengah individu di alam maya melalui Facebook dan blog tertentu, kita hairan, apakah sebenarnya yang bermain di dalam kepala mereka. Adakah Malaysia sebagainegara persekutuan telah gagal? Adakah memang Kerajaan Persekutuan mengabaikan Sabah dan Sarawak dalam tempoh 51 tahun lalu? Betulkah wujud perbezaan yang besar dari segi pembangunan prasarana, ekonomi, sosial dan sebagainya, sehingga pihak tertentu menjadi tidak waras? Saya percaya, jalan terbaik adalah untuk Sabah dan Sarawak kekal dalam Malaysia, bukan sahaja dengan mengambil kira risiko ancaman luar yang bakal dihadapi jika impian individu terbabit menjadi realiti.
Akta perlu dipinda, diperinci
Kita sama sekali tidak boleh biarkan segelintir pihak berkepentingan sempit itu merosakkan survival negara. Akta Hasutan perlu dipinda, diperincikan dan diperkemas dengan mengkaji serta meneliti semula unsur kecenderungan menghasut di bawah Seksyen 3 (1), kerana apa yang dimaksudkan dengan kecenderungan menghasut yang dimaktubkan sekarang luas dan kabur. Dengan memasukkan elemen agama dan percubaan mengeluarkan Sabah mahupun Sarawak, malah mana-mana negeri dan wilayah di negara ini, dengan lebih jelas, tentu dengan sendirinya, elemen yang sebelum ini, ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri, membabitkan perkara berkaitan, dapat dikembalikan. Dengan pindaan baharu itu, kita berharap kenyataan dan harapan Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman, bahawa Sabah dan Sarawak akan kekal dalam Malaysia, sehingga hari kiamat akan menjadi kenyataan. Kenyataan itu dikeluarkan ekoran gugatan dan ancaman seorang dua pemimpin di Sabah untuk mengeluarkan Sabah dari Malaysia tidak lama selepas Singapura ditendang keluar pada tahun 1965.
Sesuai dengan keseriusan kesalahan dan ancaman terhadap masyarakat mahupun negara, hukuman RM5,000 serta tiga tahun penjara, tentu tidak lagi memadai. Tentu wajar menaikkan jumlah hukuman kepada sekurang-kurangnya RM15,000 dan hukuman penjara lima tahun. Dengan langkah tegas saja, pihak berkenaan berasa gentar sekali gus menyelamatkan masyarakat dan negara daripada ancaman mahupun gugatan anasir jahat.
dr jeniri amir
Penulis ialah pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak

0 comments:

Post a Comment