Tuesday 4 November 2014

LIMPAHAN EKONOMI : PETRONAS LABUR RM89.3 BIL DI PENGERANG JOHOR.


PETRONAS akan melabur kira-kira AS$27 bilion (RM89.3 bilion) membangunkan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor, dengan bermulanya upacara pecah tanah untuk Loji Penjanaan Bersama Pengerang (PCP) miliknya di sini hari ini.
Naib Presiden Petronas, Infrastruktur dan Utiliti, Pramod Kumar Karunakan, berkata PCP akan membekalkan tenaga kepada seluruh PIC, menghasilkan tenaga elektrik berjumlah 1,220 megawatt (MW) serta menyediakan tenaga wap yang berterusan sebanyak 1,480 tan sejam untuk loji dalam kompleks itu.
Katanya, PCP akan dibina sebuah konsortium Siemens AG, Siemens Malaysia dan MMC Engineering Sdn Bhd, akan mempunyai empat unit penjanaan dengan unit pertama dijangka beroperasi secara komersial pada pertengahan 2017.
"Sebagai antara kemudahan sokongan kritikal yang dibangunkan dalam PIC, PCP akan memainkan peranan penting bagi membekalkan tenaga wap yang boleh dipercayai dan tenaga untuk memenuhi keperluan loji di PIC serta Grid Tenaga Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Komunikasi Strategik Kumpulan Perhubungan Media PETRONAS.
Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Ir. Hasni Mohammad; Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran PETRONAS, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Gas dan Tenaga Siemens Dr Roland Fischer.
Kenyataan itu menyebut PETRONAS PIC akan mengandungi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) dan kemudahan sampingan yang lain seperti Terminal Regasifikasi LNG Pengerang, Unit Pemisahan Udara, Projek Pembekalan Bekalan Air Mentah (Pamer) Tangki Produk dan Minyak Mentah serta kemudahan perkongsian dan pemusatan utiliti.
PIC yang dibangunkan dalam kawasan berkeluasan 2.43 hektar, bersedia untuk mengoperasikan kilang penapisannya menjelang 2019 dan membangunkan enjin pertumbuhan yang baharu untuk Malaysia. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment