Thursday 6 November 2014

TITAH TUANKU SULTAN SELANGOR KEPADA YANG CUBA ENGKAR.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan umat Islam supaya tidak tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami dengan sepenuhnya.
Baginda bertitah, sesuatu fatwa itu bukan hanya dibuat atau ditentukan oleh mufti tetapi melalui jawatankuasa fatwa terdiri daripada alim ulama dan profesional yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk perundangan.
“Beta menyeru kepada umat Islam janganlah tergesa-gesa mengkritik fatwa yang telah dikeluarkan tanpa memahami dengan sepenuhnya.
“Sesuatu fatwa bukan hanya boleh dibuat atau ditentukan oleh mufti sahaja tetapi ia dibuat melalui jawatankuasa fatwa yang terdiri daripada alim ulama dan juga profesion yang mahir dalam bidang masing-masing termasuk mereka yang dalam bidang perundangan,” titah baginda.
Menurut baginda, umat Islam perlu menaruh keyakinan ke atas ajaran agama bagi membolehkannya mengatasi ideologi politik.
“Umat Islam perlu yakin dengan penuh ikhlas, bersatu dan berpadu fikiran untuk memahami segala ajaran Islam dan ia perlu mengatasi ideologi dan kepentingan politik.
“Beta yakin segala kandungan al-Quran termasuklah peraturan dan segala hukum yang telah ditetapkan oleh Allah Taala mempunyai kebaikan dan hikmah kepada seluruh alam,” titahnya.
Baginda menekankan demikian sewaktu merasmikan Seminar Kanun Jenayah Syariah di Shah Alam pagi ini.
Semalam, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mencadangkan MAIS, Mufti Negeri Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid dan SIS bertemu bagi meleraikan kontroversi fatwa yang berkaitan dengan pertubuhan bukan kerajaan itu.

sumber Utusan/Awani

0 comments:

Post a Comment