Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya semangat ‘lita’arafu’ iaitu semangat untuk menggali dan mengenali khazanah warisan sejarah serta tradisi sesuatu bangsa boleh diterapkan dalam usaha mengembangkan seni dan warisan Melayu.
Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha murni itu seterusnya berupaya menjadi wahana penting bagi generasi hari ini termasuk bukan Melayu untuk mengenali orang Melayu secara lebih dekat.
Menurut beliau, semangat itu juga menyumbang kepada kewujudan masyarakat yang saling mengenali khazanah budaya dan tradisi masing-masing serta hidup dalam suasana yang harmoni.
“Insya-Allah, usaha yang dilaksanakan dalam mengkaji serta mengembangkan seni dan warisan Melayu menepati semangat ‘lita’arafu’ seperti yang disebut di dalam al-Quran.
“Pastinya juga, menerusi seni dan warisan Melayu, kita dapat mengetengahkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan orang Melayu sejak zaman-berzaman untuk dijadikan panduan generasi hari ini,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di Menara Matrade, di sini hari ini.
Yang turut hadir Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Norsaadah Ismail.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu termasuk Perdasama boleh memainkan peranan penting dalam memelihara serta mengembangkan warisan bangsa.
Beliau memberitahu, NGO Melayu boleh menjalin kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan untuk menjalankan penyelidikan tentang warisan Melayu bagi tujuan pemuliharaan, pengembangan serta pendidikan.
“Selain itu, Perdasama sebagai pertubuhan berteraskan ekonomi boleh memikirkan bagaimana produk-produk berunsur warisan Melayu boleh dipasarkan baik di dalam mahu pun di luar negara,” ujarnya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, secara tidak langsung, nilai ekonomi produk warisan Melayu akan melonjak dan industri yang berteraskan warisan Melayu boleh berkembang dengan lebih maju.
Beliau juga melihat Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia kali ini sebagai medan terbaik untuk merangka pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu serta mengupas unsur-unsur positif yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/wahana-kenali-orang-melayu-1.18124#sthash.BS33rA1t.dpuf
0 comments:
Post a Comment