Anjing menjadi perhatian sepanjang minggu ini gara-gara penganjuran program I Want To Touch A Dog yang bukan saja bercanggah dengan hukum Allah, malah turut mencetuskan kegusaran dalam kalangan masyarakat di negara ini, khususnya umat Islam.
Program kontroversi itu juga menyaksikan pelbagai jenis ustaz tampil mengemukakan pandangan dengan mengambil pendapat ringan daripada Mazhab Maliki. Kecelaruan jelas berlaku dalam umat Islam di Malaysia berhubung isu ini. Apa pun pendapat, hujah mahupun alasan, dalam konteks Malaysia, kita berpegang teguh kepada mazhab Shafii seperti termaktub dalam enakmen syariah negeri.
Mari kita fahami pencerahan ringkas mengenai salah faham terhadap fatwa Imam al-Ramli mengenai hukum menyentuh najis yang kononnya diselewengkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan menggunakan fatwa itu terkeluar daripada konteks .
JAKIM sudah menjelaskan hukum menyentuh najis (tadammukh) tanpa darurat atau keperluan yang diizinkan syarak adalah haram. Kenyataan ini berdasarkan fatwa yang diputuskan oleh seorang ulama besar mazhab al-Shafii iaitu Imam al- Ramli seperti yang termaktub dalam karya ulungnya Nihayah Al-Muhtaj 1/185. Kata beliau: "Menyentuh (atau meletakkan najis) pada anggota badan atau pakaian adalah haram (tadammukh bil-najasah wa huwa haram)."
JAKIM dikatakan meluaskan kalam Imam al-Ramli ini kepada anjing yang merupakan najis berat, sedangkan ulama muktabar itu membahaskan isu air yang bernajis. Persoalannya, benarkah fatwa Imam al-Ramli itu terhad kepada perbahasan air dan tiada kaitan dengan anjing? Dinukilkan beberapa petikan daripada kitab fiqah muktabar mazhab al-Shafii selain daripada karya Imam al-Ramli yang menyabitkan apa yang difatwakan oleh beliau merupakan kaedah umum Furu' Fiqh Shafii yang mencakupi semua kategori najis.
Sentuh najis tanpa darurat
Sebelum itu, perlu ditegaskan bahawa pengharaman menyentuh najis tanpa darurat selaras dengan kaedah fiqh yang berbunyi: "Perkara yang membawa kepada haram, maka ia juga adalah haram." Dalam hal ini, kita temui fatwa Syeikh Ibnu Hajar al-Haitami yang menegaskan: "Seperti wajib menutup aurat di luar solat, maka haram juga menyentuh najis di luar solat." (fatwa Fiqhiyyah Al-Kubra, 4/47). Hukum yang sama diguna pakai terhadap periuk tanah yang diperbuat daripada unsur najis (Tuhfah Al-Muhtaj, 1/499). Begitu juga Syeikh al-Dimyati yang memasukkan air kencing dalam kerangka tadammukh tadi (I'anah Al-Talibin, 1/101).
Imam Al-Bujayrimi pula meluaskan tadammukh kepada arak yang merupakan najis mutawasitah (Hashiyah Al-Bujayrimi, 12/331). Lebih jelas lagi ialah fatwa Syeikh Khatib Al- Shirbini di dalam Al-Iqna' 1/220 senada dengan apa yang dinaqalkan oleh Imam al-Ramli tadi: "Manakala darah seperti anjing dan babi, tidak dimaafkan walaupun sedikit daripadanya kerana kedua-duanya najis berat, seperti yang dijelaskan dalam (kitab) Al-Bayan, dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam Al-Majmuk dan beliau memperakuinya.
Hukum lumur darah haram
Begitu juga, seseorang yang mengambil darah orang lain, lalu melumurkan dirinya iaitu badannya atau pakaiannya (dengan darah tadi), maka (najis darah itu) sedikit pun tidak dimaafkan daripadanya disebabkan lumuran darah yang melampau.
Ia kerana meletakkan (menyentuh) najis adalah haram." Syeikh Khatib Al-Shirbini tidak mengehadkan konsep tadammukh kepada air saja tetapi memuatkan betapa najisnya darah dalam perkara itu. Syeikh Khatib al-Shirbini juga menyebut mengenai najis darah anjing dan babi. Ini membuktikan ulama berkenaan meluaskan takrif tadammukh kepada anjing dan babi.
Oleh yang demikian, pengharaman menyentuh najis tanpa darurat tidak terhad kepada permasalahan air saja, bahkan ia membabitkan najis secara umum. Semua kenyataan ulama aliran al-Shafii ini membuktikan bahawa konsep menyentuh najis dengan sengaja tanpa darurat berlaku secara umum mencakupi semua jenis najis dan tidak terhad kepada air yang bernajis seperti didakwa.
Jika fatwa ulama ini diperhalusi, jelaslah bahawa pengharaman tadammukh merujuk kepada perbuatan menyentuh najis secara sia-sia, seperti suka-suka menyentuh tanpa sebab yang mendesak atau keperluan diizinkan syarak. Dalam hal ini, hukum mengenai pengharaman terhadap sifat najis haiwan itu sudah jelas, bahkan mazhab yang diamalkan di negara ini juga sudah jelas. Anjing dianggap najis berat adalah pendapat jumhur ulama, sedangkan Mazhab Maliki ada pendapat terpencil.
Untuk umat Islam di negara ini, berpegang teguh kepada Mazhab Shafii dan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah adalah sangat dituntut kerana pada masa ini, umat Islam di negara kita sedang diasak dengan pelbagai serangan fahaman bertentangan pegangan umat Islam. Jangan mudah mengikut sesuatu fahaman yang kabur kerana kelak ia akan menyesatkan kita.
Persoalannya, kenapa perlu dianjurkan program menyentuh anjing, kenapa teringin sangat untuk membela anjing, sedangkan masih banyak lagi haiwan 'halal' yang boleh dibela dan disayangi. Usahlah melakukan perkara yang boleh menimbulkan fitnah kepada agama dan menjejaskan imej Islam.
0 comments:
Post a Comment