Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Zilzar.com, platform baharu yang direka bentuk bagi membolehkan pedagang halal di seluruh dunia melakukan urus niaga secara dalam talian dengan cekap dan beretika.
Zilzar.com adalah percuma dan bakal menghubungkan berjuta-juta pengguna daripada pasaran gaya hidup Islam yang bernilai RM8.2 trilion sekali gus mewujudkan perniagaan dan pekerjaan baharu selain membawa sistem kewangan Islam ke pasaran baharu.
Najib dalam ucapan pelancaran Zilzar.com yang diadakan sempena Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-10 di sini hari ini berkata, industri halal menawarkan semua aspek daripada makanan hingga barangan farmaseutikal tetapi perusahaan kecil dan sederhana yang menyediakan keperluan hidup itu berselerak di seluruh dunia.
"Mereka sangat memerlukan kesalinghubungan dan maklumat lebih jelas serta ringkas tentang laluan dan peluang pasaran. Sebab itu menjadi harapan kita Zilzar.com dapat memenuhi keperluan itu dan membawa urus niaga perdagangan halal ke tahap baharu yang lebih mengujakan," katanya.
Perdana Menteri menambah, perkongsian baharu inovatif itu sangat tepat dalam persekitaran dan keperluan perdagangan secara elektronik yang semakin mengukuh dan berkembang dengan terdapat lebih 1.8 bilion umat Islam bertebaran di 150 buah negara.
"Pasaran Islam lebih besar berbanding China dan tumbuh pesat berbanding gabungan Amazon dan e-Bay," katanya sambil menambah Zilzar.com boleh menjadi sektor untuk gaya hidup orang Islam.
Beliau berharap Zilzar.com yang mengumpulkan rangkaian dinamik perniagaan, institusi, agensi kerajaan dan bukan kerajaan atas kepentingan bersama mampu menjadi pemangkin kepada ekosistem halal global.
Perdana Menteri berkata, perbankan Islam secara keseluruhannya yang tidak terjejas dengan krisis kewangan dunia sepatutnya memberi mandat dan keyakinan untuk terus maju dan mengambil kedudukan lebih kukuh sebagai pemimpin kewangan global.
"Sekarang, dengan ekonomi Islam yang telah matang, dua sektor ini - barangan halal dan kewangan Islam - akan bertumpu dan keseluruhannya mewujudkan kelas baharu aktiviti ekonomi," jelasnya.
Yang turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi WIEF, Tun Musa Hitam dan Pengerusi Zilzar , Datuk Dr. Vaseeha
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/pm-lancar-zilzar-com-1.18637#sthash.3YwTNdBL.dpuf
0 comments:
Post a Comment