Monday, 29 September 2014

SYABAS KETUA POLIS NEGARA.


Kita akan cari dia hingga ke lubang cacing sekalipun."

Itu tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang sedang dilakukan pihak polis terhadap penulis blog kontroversi, Alvin Tan yang semakin biadab memuat naik status dan gambar di laman sosial Facebook miliknya yang dilihat cuba memalukan beberapa pemimpin negara.

Menurut Khalid, kenyataan berbaur menghina serta mencabar pihak berkuasa itu adalah suatu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.

"Dia (Alvin) ingat dia boleh lari. Bagaimanapun, setiap negara ada peraturan dan kita akan cari dia hingga ke lubang cacing," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Alvin atau nama sebenarnya Tan Jye Yee yang kini berada di Los Angeles, California berdasarkan lokasi terkini yang dikemas kini di laman Facebooknya menghilangkan diri selepas Mahkamah Sesyen membenarkan penyerahan sementara pasportnya atas alasan ingin pergi ke Singapura bagi tujuan penggambaran sebuah dokumentari.

Pada bulan lepas, sebahagian wang jaminannya turut dilucutkan berhubung tuduhan mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan bersama pasangannya Vivian Lee.

Dia turut menghadapi pertuduhan mengikut Subseksyen 5 (1) Akta Penapisan Filem 2002 iaitu mempamerkan gambar-gambar yang didapati lucah di laman blognya di http://alviviswingers.tumblr.com/ tahun lepas.

Tidak habis di situ, Alvin turut bertindak biadab dengan mengubah suai gambar hidung beberapa pemimpin negara dan Khalid sendiri dengan hidung seekor khinzir serta menuduhnya menyalahgunakan kuasa sebagai seorang pemimpin.

Menurut khalid. siasatan terhadap kes tersebut telah dimulakan dan beliau turut memberi amaran keras kepada mereka yang menyalahgunakan media sosial untuk mengaibkan para pemimpin.

"Tiada maaf lagi kepada sesiapa yang menggunakan rangkaian media bagi menghina dan menghasut," katanya.

Friday, 26 September 2014

BN TERUS KUKUH DI HATI RAKYAT.

Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang dikuasai sejak tiga penggal berturut-turut selepas mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Kemenangan itu juga adalah hadiah paling bermakna kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyambut hari lahirnya yang ke-64 hari ini.

Calon BN, Mat Razi Mat Ail memperoleh sejumlah 9,961 undi manakala pencabarnya, Wan Rosdi Wan Ibrahim daripada Pas mendapat 7,326 undi dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary, 38 undi.

Jumlah undi rosak mencatatkan penurunan iaitu 230 undi berbanding 344 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pada PRK kali ini, jumlah majoriti BN meningkat sebanyak 2,635 undi berbanding 1,736 undi pada PRU-13.

Malah, BN berjaya mencatatkan kemenangan di sembilan Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan berjaya menembusi dua kubu kuat Pas di PDM Ketil serta Tujoh.

Jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK kali ini menurun iaitu hanya 73 peratus atau 17,555 pengundi berbanding 78.94 peratus pada PRU lalu.

Peratusan keluar mengundi menurun kerana dikatakan kebanyakan pengundi luar tidak pulang hari ini kerana mahu menunggu cuti umum Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Pengumuman keputusan PRK itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Mohd. Sobri Ramli di pusat penjumlahan undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa di sini pukul 9 malam ini.

PRK DUN Pengkalan Kubor diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar, 57, akibat kanser hati di sebuah hospital di China pada 20 Ogos lalu.

Kawasan tersebut mempunyai 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir (luar negara).

Pada PRU-13, Noor Zahidi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Terdahulu, Mat Razi yang berjubah gumbang dengan tenang ditemani isteri menunaikan tanggujawab membuang undi di Sekolah Kebangsaan Simpangan di sini pada pukul 8 pagi.

Calon Pas, Wan Rosdi mengundi di Sekolah Kebangsaan Bendang Pak Yong sambil diiringi Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Kemenangan BN itu sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap imej Pas negeri ini kerana mereka beria-ia mahu mengambil semula kerusi DUN tersebut daripada PKR.

Pas menganggap kawasan Parlimen Tumpat yang turut mengandungi Pengkalan Kubor adalah kubu kuat mereka disebabkan prestasi cemerlang di tiga lagi kawasan iaitu Kelaboran, Wakaf Bharu dan Pasir Pekan pada pilihan raya umum sebelum ini.

Biarpun kemenangan BN tidak memberikan impak kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana tidak menjejaskan jumlah kerusi dalam sidang DUN namun ia membawa manfaat yang besar untuk rakyat.

Agenda yang ditinggalkan oleh Allahyarham Noor Zahidi akan dapat diteruskan oleh Mat Razi untuk membangunkan kawasan yang bersempadan dengan pekan Tak Bai, Thailand itu.

Keputusan itu juga membuktikan isu royalti minyak yang dibawa secara agresif oleh Pas kali ini tidak memberikan sebarang kesan malah rakyat memberikan isyarat bahawa mereka sudah muak dengan retorik tersebut.

Monday, 22 September 2014

ISU TANAH REZAB MELAYU PERLU DIBERI PERHATIAN SERIUS.

UMNO Pasir Salak mendesak semua kerajaan negeri supaya menggantikan kembali Tanah Rizab Melayu yang telah diambil untuk tujuan pembangunan dengan nilai setara dan di lokasi strategik untuk pembangunan orang Melayu.

Ketua bahagiannya, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, kemerosotan peratusan Tanah Rizab Melayu kini bertentangan dengan Wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan sebanyak 50 peratus daripada tanah dalam negeri diperuntukkan untuk survival orang Melayu ketika pembentukan Perlembagaan Persekutuan 1957.

"Masalah sekarang ialah Tanah Rizab Melayu kini hanya tinggal 11 peratus, ini meletakkan orang Melayu tidak selamat kerana tanah adalah penting. Kalau tidak, macam mana hendak mendirikan rumah, kampung dan di mana hendak duduk?

"Atas keinsafan itu, kita meminta semua kerajaan negeri supaya mengkaji semula berapa tanah rizab yang telah diambil tetapi belum diganti untuk tujuan pembangunan.

"Kita mendesak supaya menggantikannya dengan nilai yang setara serta lokasinya juga hendaklah sesuai untuk orang Melayu memilikinya. Jangan ganti dengan tanah di dalam hutan, berpaya atau yang tidak berguna," tegasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Salak di sini hari ini.

Persidangan itu dirasmikan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri.

Dalam pada itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, masalah melibatkan pengurangan peratusan Tanah Rizab Melayu itu mungkin disebabkan oleh pihak kerajaan terlepas pandang.

Namun katanya, sekiranya tanah rizab tersebut sengaja digadai tanpa diganti, tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai-pegawai kerajaan yang tidak bertanggungjawab.

"Perlu ditegaskan juga bahawa banyak sebenarnya orang Melayu di luar bandar serta di bandar tidak memiliki tanah. Rakyat dahagakan kepada tanah," katanya.

Saturday, 20 September 2014

PROGRAM MOTIVASI BERSAMA PELATIH AKEDEMI KEMAHIRAN YBK GESIR.


Sesi perkongsian motivasi telah diadakan bersama para pelatih Akademi Kemahiran YBK Gesir. Seramai 20 orang pelatih hadir pada sesi ini yang diadakan di dewan Asrama Kasih YBK Gesir pada jam 10 pagi. Objektif sesi ini adalah untuk memberi idea dan inspirasi kepada para pelatih berkenaan konsep minda, komunikasi dan kecemerlangan.
Sesi disampaikan oleh En. Zulhairy Jalaluddin selaku ketua 'team' motivasi YBK dan dibantu oleh En. Audi Faliq dan Cik Wan Afifah. Pembentangan berlangsung selama dua jam dengan selingan permainan menguji minda. Di akhir sesi, para pelatih dan hadirin telah diperkenalkan dengan konsep 'state management' yang diilhamkan daripada 'Neuro Linguistic Programming' (NLP) dan turut bersama-sama melakukan gerakan 'state management' dengan penuh semangat.
Diharapkan ilmu dan praktik yang dikongsikan oleh team motivasi YBK kepada para pelatih dapat memberi suntikan idea dan semangat dalam usaha untuk memperkukuh kecemerlangan diri dan menjadi seorang insan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada organisasi dan masyarakat.

YBK DAN POLITEKNIK MERLIMAU JALAN KERJASAMA AKADEMIK



Politeknik Merlimau (PMM) dan Yayasan Basmi Kemiskinan, Selangor (YBK) menjalin kerjasama bagi melaksanakan Latihan Teknikal dan Persijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang minyak serta gas.

Pengarahnya, Zolkarnain Jobshi berkata, kerjasama itu mewujudkan hubungan antara dua pihak dalam memajukan lagi bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan teknikal minyak dan gas ke arah kebolehpasaran pelajar lepasan politeknik.

Menurutnya, latihan itu akan dilaksanakan selama dua semester bermula Januari 2015, dengan menyasarkan 320 orang pelajar semester 5 dan semester 6 bagi Jabatan

Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di politeknik berkenaan.

"PMM dengan prasarana dan keupayaan pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini akan bertindak sebagai Politeknik Penyelaras dengan membantu YBK mengendalikan Latihan Teknikal dan Persijilan Kemahiran Malaysia kepada pelajar yang terlibat.

"Kerjasama ini merangkumi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan seperti pendidikan menerusi kuliah, latihan teknikal menerusi bengkel berkaitan bidang minyak dan gas selain penyediaan tempat untuk pelajar menjalani latihan industri.

"Kita menyokong penuh konsep latihan ini kerana dilihat mampu memberi impak besar kepada kebolehpasaran graduan selain meningkatkan kompetensi pensyarah dan imej politeknik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara YBK dan PMM di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandangani oleh Pengerusi Eksekutif YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dan PMM yang diwakili Zolkarnain.


Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pengajian Politeknik, Ghous Ab. Kadir dan Timbalan Pengarah Akademik PMM, Mohd. As'ri Chik.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kerjasama seumpama itu pertama kali diadakan di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha membantu memberi nilai tambah kepada pelajar mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

Katanya, melalui anak syarikat YBK iaitu Mont Sphinz Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding akan melaksanakan program teknikal petroleum dengan persijilan yang dikeluarkan dengan kerjasama cawangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Mereka terlibat dalam program ini akan diberikan latihan profesional berkompeten yang akan dikendalikan dengan usaha sama UTM bagi bidang 'Gas Fitter'.

"Kita berharap dengan kerjasama yang terjalin ini akan mencapat matlamatnya sekali gus hasilkan gabungan kepakaran ini akan menyemarakkan pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang."

VIDEO UCAPAN PENGARAH POLITEKNIK MERLIMAU, klik sini
VIDEO UCAPAN PENGERUSI YBK, klik sini

Friday, 19 September 2014

CADANGAN BANK PERUMAHAN RAKYAT WAJAR SOKONG KERAJAAN.

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang menubuhkan sebuah Bank Perumahan khusus bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kewujudan bank tersebut merupakan salah satu mekanisme baharu kerajaan bagi memberi pinjaman perumahan untuk pemohon rumah mampu milik terutamanya kos rendah dan sederhana rendah.

Beliau berkata, cadangan itu diambil selepas pihaknya mendapat maklum balas dan rungutan daripada orang ramai yang mengalami kesukaran untuk mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank komersial.

"Cadangan ini selari dengan pengwujudan Bank Perumahan yang dicadang-kan oleh kerajaan negeri Johor baru-baru ini supaya bank ini secara khusus memproses pinjaman perumahan, dengan cara ini mereka akan lebih fokus dan tidak mengenakan syarat ketat seperti bank komersial.

"Bagaimanapun, penubuhan bank ini hanya dikhususkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana mereka membuat aduan tidak mendapat peluang mendapatkan pinjaman perumahan daripada bank komersial disebabkan syarat ketat oleh Bank Negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-68 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Abdul Rahman, di samping cadangan itu, pihaknya juga mengkaji cadangan untuk membenarkan syarikat peminjam wang berlesen seperti syarikat insurans dan koperasi yang berada di bawah kementeriannya untuk memberikan pinjaman perumahan tersebut kepada golongan terbabit.

Katanya, semua cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat kementerian terlebih dahulu untuk perincian lebih lanjut sebelum dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan kelulusan.

Abdul Rahman berkata, buat masa ini pihaknya akan menunggu sehingga Bajet 2015 selesai dibentangkan pada 10 Oktober ini sebelum mengambil tindakan seterusnya.

"Kita tunggu sehingga Bajet 2015 dibentangkan sebelum membuat keputusan bagaimanapun, keputusan yang akan diumumkan nanti boleh dibuat dengan cepat kerana syarikat pinjaman wang berlesen sudah ada cuma sekarang ini mereka hanya memberi pinjaman peribadi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat tersebut juga bersetuju supaya nama jalan dan projek perumahan yang akan dibina hanya menggunakan istilah bahasa Melayu.

Pada masa sama, katanya, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara juga telah dimaklumkan supaya menggunakan bahasa Melayu dalam menamakan taman dan lorong di kawasan masing-masing.

Tuesday, 16 September 2014

HARI MALAYSIA, PM GESA RAKYAT TERUS BERSATU.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyimpulkan, hanya dengan solidariti yang ampuh dan padu atas nama Malaysia, tanah air ini akan terus stabil, makmur dan sejahtera selama-lamanya.

Beliau berkata, dalam meraikan peristiwa penting iaitu sambutan Hari Malaysia, semua pihak sewajarnya memperkukuhkan hubungan dan bersatu sebagai rakyat Malaysia.

"Ini adalah amat mustahak, ketika mana ada unsur-unsur tidak bertanggungjawab yang mahu melihat perpecahan terjadi di antara kita, kita sekali lagi dapat menyambut Hari Malaysia dalam keadaan aman dan makmur.

"Pada esok malam, saya akan hadir di Dataran Kipas, Miri, Sarawak untuk bersama-sama ribuan rakyat daripada pelbagai lapisan dan latar belakang atas semangat cintakan negara dan patriotisme yang tinggi," katanya yang dipetik dalam blog NajibRazak.com di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi akaun Twitternya turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia dengan ingatan 'Keharmonian dan toleransi menjadi tunjang serta tonggak untuk kekalkan Malaysia sebagai sebuah negara yang utuh, berwibawa dan dihormati'.

Saturday, 13 September 2014

MERDEKA BUKAN BERERTI BEBAS MENGHINA.


oleh Hassan Mohd. Noor

PERTUBUHAN Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan bersedia 'membina semula Gaza' yang musnah akibat serangan Israel. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon bagaimanapun berkata, pembangunan semula itu adalah buat kali yang terakhir. Beliau bertanya, adakah kita perlu terus begini...bina, musnah dan bina dan musnah? Hanya keamanan berkekalan di Gaza dapat menghentikan kitaran penderitaan di Gaza. PBB boleh membina semula Gaza walaupun kosnya dilaporkan sebanyak RM19.1 bilion. Masjid, rumah, sekolah, hospital, bangunan boleh dibina semula tetapi nyawa manusia akibat pembunuhan beramai-ramai terutama melibatkan kanak-kanak yang sedang membesar bolehkah dikembalikan semula? Setiap sesuatu yang bernama binaan boleh dibina semula walaupun ia tidak sama seperti yang asal. Manusia sebagai arkitek boleh membina sama ada serupa atau lebih baik lagi akibat sesuatu kemusnahan itu. Ia mungkin mengambil masa berbulan-bulan atau setahun dua mengikut kecekapan dan kepantasan manusia bekerja. Begitu juga tanaman dan ternakan yang musnah, boleh dikembalikan dengan penanaman semula.

Bagaimana pula dengan kehilangan anggota badan akibat peperangan? Adakah boleh dikembalikan kepada asal? Adakah kaki atau tangan palsu berupaya berfungsi seperti yang asal? Nyawa tidak ada galang gantinya. Tubuh badan yang cedera atau hilang tidak mampu dikembalikan, sama seperti yang asal. Begitu jugalah dengan perpaduan di dalam sesebuah negara. Bukan mudah untuk 'membina semula' perpaduan yang hancur dalam kalangan penduduk berbilang kaum yang mengamalkan pelbagai budaya dan agama. Kehancuran perpaduan akan membawa kehancuran kepada sesebuah negara. Memetik risalah Rukun Negara terbitan Jabatan Penerangan Malaysia, tanpa perpaduan, negara akan lemah dan boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas, berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Rakyat Malaysia yang hebat adalah rakyat yang memegang teguh kepada Rukun Negara. Lima prinsip Rukun Negara sekiranya diamal dan dipraktikkan mampu menjadikan seseorang itu hebat dan seterusnya mengukuhkan kedaulatan negara.

Hari ini selepas 57 tahun merdeka, di manakah kedudukan perpaduan kita? Adakah semakin kukuh atau sedang menuju kehancuran? Selak pernah memperkatakan tentang isu ini di bawah tajuk Kenapa semua ini berlaku selepas 53 tahun negara kita merdeka. Selak menimbulkan persoalan ini dengan bertanya: ''Tanyalah diri anda, adakah kemerdekaan yang berusia 53 tahun ini tidak memberi apa-apa makna kepada ?kebebasan kehidupan selama ini? Selepas 53 tahun, adakah perpaduan kita semakin mantap atau bertambah rapuh dan longgar?''.

Ketika itu, dalam usia 53 tahun, semakin ramai bercakap mengenai hak mereka yang dulunya tidak pernah kedengaran. Dulu tidak ada yang berani mempermainkan lagu Negaraku dan mempersendakan Jalur Gemilang. Satu persatu prinsip Rukun Negara juga cuba diabaikan. Semuanya ini ada puncanya. Banyak perkara yang jijik ?dihalal atau dibolehkan disebabkan politik atau dipengaruhi provokasi politik. Memaki hamun, memfitnah dan macam-macam lagi yang mengaibkan seseorang dibenarkan kerana politik. Hakikatnya peraturan dan adab sopan sudah berubah. Lebih terbuka, lebih moden, lebih bebas berbanding pada masa lalu. Kehadiran pelbagai media sosial menambah 'kebebasan' ini.

Menyelak kembali kelahiran Rukun Negara pada 31 Ogos 1970 sempena ulang tahun ke-13 kemerdekaan negara, ia lahir selepas Majlis Perundangan Negara merumuskan bahawa satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Sebelum itu, hubungan kaum semakin keruh apabila parti-parti politik membuat provokasi antara satu sama lain yang akhirnya membawa kepada pergaduhan dan semakin serius sehingga mencetuskan peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Kesan peristiwa itu, kerajan mencari formula bagi mengatasi masalah pergaduhan kaum supaya ia tidak berulang. Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak Hussein, tiga menteri iaitu Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T Sambanthan. Akhirnya majlis itu merumuskan satu ideologi yang mampu mengatasi garis pemisah antara kaum perlu diwujudkan. Maka lahirlah Rukun Negara. Lima prinsip yang digariskan ialah Kepercayaan Kepada Tuhan; Kesetiaan Kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Begitulah lahirnya Rukun Negara. Apakah rakyat masih 'berpegang' kepada prinsip-prinsip Rukun Negara? Sejak kebelakangan ini, ada banyak pihak yang bertindak kurang sopan, kurang ajar, biadap, menunjukkan keangkuhan yang melampaui prinsip Rukun Negara. Ada yang berlagak seolah-olah kuasa di tangan mereka dan tidak perlu tunduk kepada pihak yang lebih berkuasa. Rasanya tidak perlu diulas panjang lebar mengenai isu ini. Orang ramai tahu siapa mereka.

Adakah pada suatu hari nanti, lima prinsip Rukun Negara hanya tinggal hiasan? Hakikatnya, merdeka bukan bererti kita bebas menghina sesiapa sahaja. Dalam kita menegur seseorang, elakkanlah menggelar dengan nama-nama yang kurang baik dan tidak enak didengar sehingga boleh menimbulkan kemarahan. Tidak dinafikan ada pihak yang cuba menimbulkan provokasi bagi menimbulkan kemarahan orang lain. Bertindaklah secara rasional, jangan terdorong oleh perasaan angkuh dan sombong.

Selak juga terpanggil untuk mengulas serba sedikit mengenai apa yang berlaku di Pulau Pinang. Isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP pada Mei 2011. Tujuan awalnya dikatakan untuk membantu pihak berkuasa keselamatan menangani kegiatan atau aktiviti sosial yang negatif di sesuatu kawasan. PPS dianggotai 937 orang dengan 46 pasukan dan selepas tiga tahun, bilangannya meningkat kepada 9,002 orang dengan 299 pasukan. Dalam tempoh itu, terdapat beberapa aduan daripada orang ramai yang kurang senang dengan PPS yang dilihat mengambil tugas pasukan keselamatan. Terdapat juga dakwaan, anggota pasukan itu mengasari seorang jurugambar dan aktivis sosial mendakwa dipukul. Berikutan aduan aktivis sosial itu, ada juga yang mengaitkan penglibatan PPS dengan gangster tetapi kerajaan DAP menafikannya sebaliknya menyifatkan pertubuhan itu dijadikan 'kambing hitam' oleh individu tertentu untuk mengkritik dasar kerajaan negeri.

Isu ini semakin panas apabila Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan bahawa PPS adalah pasukan yang tidak berdaftar dan dianggap menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan. Beliau menegaskan tindakan menangkap anggota PPS akan dilakukan sekiranya mereka meneruskan aktiviti pertubuhan haram itu.

Dari situ bermulalah serangan oleh Ke­tua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Khalid. Sesiapa yang mende­ngar ucapan Guan Eng tentu dapat merasai keangkuhan Ketua Menteri itu dalam menangani isu ini. Tidak sewajarnya seorang yang digelar sebagai pemimpin bertindak demikian. Ini bukan kali pertama, Guan Eng menunjukkan keangkuhannya. Ramai pemimpin yang 'pernah bersamanya' membuat teguran termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mansor Othman, bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, bekas anggota Parlimen PKR termasuk Zahrain Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju). Tidak kurang juga kalangan pemimpin parti di peringkat akar umbi.

Mansor pernah menggelar Guan Eng sebagai sombong, angkuh dan tokong. Tunku Abdul Aziz pula menyifatkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri yang tidak boleh diusik. Apakah yang sedang berlaku sekarang menunjukkan beliau adalah?ketua menteri yang benar-benar berkuasa seperti slogan yang pernah menjadi kempen pilihan raya umum (PRU) parti itu semasa diterajui oleh Lim Kit Siang? Ketika itu, pada 1995, muncul poster Kit Siang (sebagai Setiausaha Agung DAP) yang tertera perkataan CHIEF MINISTER WITH POWER - Ketua Menteri Dengan Kuasa). Lebih menarik lagi ada watak Robocop menghiasi poster itu. Adakah, masanya kini telah tiba untuk menunjukkan kuasa?

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140901/re_05/Merdeka-bukan-bererti-bebas-menghina-orang-lain#ixzz3D8iLvjYf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Monday, 8 September 2014

AKTA HASUTAN.RUNDINGAN AKAN DILAKUKAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan membuat keputusan yang akan menyebabkan masyarakat berasa bimbang berhubung Akta Hasutan.

Beliau berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan dengan semua pihak berkepentingan mengenai pengekalan atau pemansuhan Akta Hasutan.

"Jika akta baharu diperkenalkan, mesti lebih baik daripada akta sedia ada," katanya dalam majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Friday, 5 September 2014

JANGAN CABAR UNDANG-UNDANG NEGARA.


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada mana-mana pasukan sukarelawan mencegah jenayah agar tidak mengugut serta mencabar pihak berkuasa sehingga berani membelakangkan undang-undang negara.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan mengalu-alukan apa sahaja sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membanteras jenayah, namun sebarang tindakan perlu berlandaskan perundangan negara dan bukannya dibuat secara sesuka hati.

"Jangan membelakangkan atau setelah ditegur, kita pula mencabar pihak berkuasa, mengugut, mencabar dan sebagainya. Apa juga yang kita nak lakukan sebenarnya boleh dicari jalan terbaik berdasarkan kepada perbincangan dan rundingan tetapi bukan dengan cara sedemikian atau membahas secara terbuka apatah lagi kalau kita mewakili anggota pentadbiran (kerajaan negeri).

"Saya percaya pihak polis menerima baik kalau ada pihak mahu menyumbang tetapi mestilah berdasarkan kepada lunas-lunas undang-undang atau tidak boleh membenarkan sesiapa buat sesuka hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyampaikan penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada 129 penerima terdiri daripada tujuh menteri, kakitangan awam dan anggota keselamatan yang terlibat dalam Operasi Daulat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Ahad lalu, polis menahan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) memandangkan pertubuhan itu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan dianggap sebagai menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Penahanan anggota pasukan itu dilakukan selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan ke atas mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara sememangnya memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat sebagaimana dibuktikan ketika kejayaan semua pihak mematahkan ancaman komunis demi mencapai kemerdekaan.

"Dalam kita menangani ancaman seperti ini, menjaga keselamatan dan sebagainya kita memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat.

"Kita pernah bertindak dahulu apabila ada pasukan memakai uniform (pasukan keselamatan) dan diberi pangkat kepada mereka sendiri dan mereka itu melakukan kesalahan.

"Jadi sesiapa pun yang melakukan kesalahan mestilah menerima hakikat undang-undang negara perlu dipatuhi kerana dengan cara seperti ini sahaja kita boleh menjamin keamanan dan keselamatan negara kita," katanya.

Wednesday, 3 September 2014

KENYATAAN MEDIA