Friday 5 September 2014

JANGAN CABAR UNDANG-UNDANG NEGARA.


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada mana-mana pasukan sukarelawan mencegah jenayah agar tidak mengugut serta mencabar pihak berkuasa sehingga berani membelakangkan undang-undang negara.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan mengalu-alukan apa sahaja sumbangan daripada mana-mana pihak untuk membanteras jenayah, namun sebarang tindakan perlu berlandaskan perundangan negara dan bukannya dibuat secara sesuka hati.

"Jangan membelakangkan atau setelah ditegur, kita pula mencabar pihak berkuasa, mengugut, mencabar dan sebagainya. Apa juga yang kita nak lakukan sebenarnya boleh dicari jalan terbaik berdasarkan kepada perbincangan dan rundingan tetapi bukan dengan cara sedemikian atau membahas secara terbuka apatah lagi kalau kita mewakili anggota pentadbiran (kerajaan negeri).

"Saya percaya pihak polis menerima baik kalau ada pihak mahu menyumbang tetapi mestilah berdasarkan kepada lunas-lunas undang-undang atau tidak boleh membenarkan sesiapa buat sesuka hati," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas menyampaikan penganugerahan Pingat Kedaulatan Negara kepada 129 penerima terdiri daripada tujuh menteri, kakitangan awam dan anggota keselamatan yang terlibat dalam Operasi Daulat di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Ahad lalu, polis menahan 156 anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) memandangkan pertubuhan itu tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan dianggap sebagai menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 41 Akta Pertubuhan.

Penahanan anggota pasukan itu dilakukan selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabar Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan ke atas mereka.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara sememangnya memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat sebagaimana dibuktikan ketika kejayaan semua pihak mematahkan ancaman komunis demi mencapai kemerdekaan.

"Dalam kita menangani ancaman seperti ini, menjaga keselamatan dan sebagainya kita memerlukan sokongan dan kerjasama rakyat.

"Kita pernah bertindak dahulu apabila ada pasukan memakai uniform (pasukan keselamatan) dan diberi pangkat kepada mereka sendiri dan mereka itu melakukan kesalahan.

"Jadi sesiapa pun yang melakukan kesalahan mestilah menerima hakikat undang-undang negara perlu dipatuhi kerana dengan cara seperti ini sahaja kita boleh menjamin keamanan dan keselamatan negara kita," katanya.

0 comments:

Post a Comment