Saturday, 20 September 2014

YBK DAN POLITEKNIK MERLIMAU JALAN KERJASAMA AKADEMIK



Politeknik Merlimau (PMM) dan Yayasan Basmi Kemiskinan, Selangor (YBK) menjalin kerjasama bagi melaksanakan Latihan Teknikal dan Persijilan Kemahiran Malaysia dalam bidang minyak serta gas.

Pengarahnya, Zolkarnain Jobshi berkata, kerjasama itu mewujudkan hubungan antara dua pihak dalam memajukan lagi bidang penyelidikan, pendidikan dan latihan teknikal minyak dan gas ke arah kebolehpasaran pelajar lepasan politeknik.

Menurutnya, latihan itu akan dilaksanakan selama dua semester bermula Januari 2015, dengan menyasarkan 320 orang pelajar semester 5 dan semester 6 bagi Jabatan

Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di politeknik berkenaan.

"PMM dengan prasarana dan keupayaan pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini akan bertindak sebagai Politeknik Penyelaras dengan membantu YBK mengendalikan Latihan Teknikal dan Persijilan Kemahiran Malaysia kepada pelajar yang terlibat.

"Kerjasama ini merangkumi aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan seperti pendidikan menerusi kuliah, latihan teknikal menerusi bengkel berkaitan bidang minyak dan gas selain penyediaan tempat untuk pelajar menjalani latihan industri.

"Kita menyokong penuh konsep latihan ini kerana dilihat mampu memberi impak besar kepada kebolehpasaran graduan selain meningkatkan kompetensi pensyarah dan imej politeknik ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) antara YBK dan PMM di sini hari ini.

Perjanjian itu ditandangani oleh Pengerusi Eksekutif YBK, Datuk Zainal Abidin Sakom dan PMM yang diwakili Zolkarnain.


Yang turut hadir, Pengarah Kanan Akademik, Jabatan Pengajian Politeknik, Ghous Ab. Kadir dan Timbalan Pengarah Akademik PMM, Mohd. As'ri Chik.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, kerjasama seumpama itu pertama kali diadakan di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam usaha membantu memberi nilai tambah kepada pelajar mencari pekerjaan selepas tamat pengajian.

Katanya, melalui anak syarikat YBK iaitu Mont Sphinz Sdn. Bhd. sebuah syarikat perunding akan melaksanakan program teknikal petroleum dengan persijilan yang dikeluarkan dengan kerjasama cawangan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

"Mereka terlibat dalam program ini akan diberikan latihan profesional berkompeten yang akan dikendalikan dengan usaha sama UTM bagi bidang 'Gas Fitter'.

"Kita berharap dengan kerjasama yang terjalin ini akan mencapat matlamatnya sekali gus hasilkan gabungan kepakaran ini akan menyemarakkan pembangunan ekonomi negara pada masa akan datang."

VIDEO UCAPAN PENGARAH POLITEKNIK MERLIMAU, klik sini
VIDEO UCAPAN PENGERUSI YBK, klik sini

0 comments:

Post a Comment