Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), sebuah NGO yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah dalam usaha pembasmian kemiskinan bagi membolehkan mereka yang kurang bernasib baik mempunyai peluang yang sama dalam hidup, akan menyambut perayaan Jubli Perak-nya pada tahun ini dengan mengadakan pelbagai acara serta satu majlis makan malam gala sebagai kemuncaknya pada 26 Mac, 2015 ini.
Syarikat-syarikat, pelajar Asrama Kasih YBK, pelatih Kolej Komuniti YBK, ahli isi rumah miskin yang telah menerima faedah daripada pelbagai projek yang dilaksanakan oleh YBK dijemput menaja dan juga mengambil bahagian dalam majlis makan malam dan acara-acara lain yang akan dilaksanakan sempena dengan ulang tahun ini.
Dalam majlis pelancaran sambutan jubli perak tersebut pada hari ini, Datuk Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK, berkata impak sumbangan YBK sebagai NGO yang membantu kerajaan dengan modul membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesedaran kesejahteraan rakyat amatlah besar.
“Setelah 25 tahun, terlalu banyak sumbangan YBK dan terlalu ramai mereka yang telah mendapat sentuhan budi dari yayasan melalui program-program sosio-ekonomi dan pembangunan modal insan kami.
“Maka, sempena meraikan 25 tahun YBK, satu Majlis Sambutan Jubli Perak diputuskan untuk mengenang kembali sumbangan dan meraikan mereka yang berjaya disentuh oleh yayasan.
“Kemuncak perayaan ini adalah Majlis Makan Malam Jubli Perak yang akan diadakan pada 26 Mac 2015 ini,” tambah beliau. Dalam Majlis Makan Malam Jubli Perak YBK ini, YBK akan melancarkan Setem Junli Perak YBK, Buku 25 Tahun YBK, Laporan Kajian Kesejahteraan YBK-UPM dan Anugerah Tokoh Kemiskinan YBK dari kalangan institusi, individu dan media.
Di antara acara-acara lain yang telah dirancang adalah Seminar Antarabangsa YBK-UPM, Pertandingan Menulis Esei, Perhimpunan Bekas Pelajar Asrama Kasih YBK dan Perhimpunan Bekas Pelatih Kolej Komuniti YBK, lumba jalan kaki, karnival dan banyak lagi yang akan dilaksanakan sehingga akhir bulan Ogos 2015.
Golongan sasar YBK adalah anak-anak yatim/piatu, belia yang tercicir, warga emas miskin, OKU, ibu tunggal miskin dan golongan miskin berdasarkan kepada Paras Garis Kemiskinan (PGK) dari masa ke semasa.
Selain itu YBK turut mengambil kira beberapa kriteria tambahan bagi mengenalpasti kumpulan sasar tersebut seperti mereka yang tinggal di rumah usang dan tiada kemudahan asas yang sempurna, taraf kesihatan yang rendah, miskin akibat bencana alam dan kekurangan ilmu pengetahuan, kemahiran dan motivasi.
“Program-program pembangunan modal insan YBK bertujuan memberikan peluang kepada golongan ini memperbaiki taraf hidup masing-masing melalui pendidikan dan juga latihan.
“Manakala program-program sosio ekonomi pula membolehkan golongan miskin ini menyertai kegiatan-kegiatan yang memberikan hasil seperti pertanian, industri-industri kampung dan lain-lain aktiviti perniagaan kecil,” kata beliau.
Di antara program-program modal insan yang sedang dijalankan oleh YBK termasuklah Asrama Kasih YBK Gesir untuk para pelajar miskin, Asrama Kasih YBK Serendah iaitu satu program pembiayaan pembelajaran dan kehidupan untuk pelajar miskin dan yatim, Kumpulan Tuisyen Hujung Minggu (KUNTUM) yang diberikan percuma kepada pelajar miskin luar bandar yang sedang menghadapi SPM, Kolej Komuniti YBK dan lain-lain lagi.
Program-program untuk inisiatif sosio ekonomi pula merangkumi projek Lindungan Kasih iaitu pembinaan semula rumah-rumah usang, Pemulihan Rumah - daripada peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Desa Kasih di mana keluarga-keluarga termiskin ditempatkan di kawasan perumahan yang disediakan YBK dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, Pejabat-pejabat Daerah dan Majlis Agama Islam Selangor dan lain-lain lagi.
“Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada yang di bawah, dan inilah kata-kata hikmat yang sering diingatkan kepada setiap mereka yang telah menerima manfaat daripada projek-projek YBK.
“Saya menyeru semua mereka yang telah berjaya disebabkan sentuhan YBK kembali dan bersama menyokong menjayakan visi dan misi YBK. YBK berharap ramai alumni-alumni akan melibatkan diri sempena ulangtahun ke-25 dan seterusnya membantu YBK.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai majlis makan malam dan lain-lain aktiviti yang dirancang untuk sambutan ke-25 ini, adalah dinasihatkan untuk menghubungi Puan Alia Zam di 03-78450036, 03-78450037 atau e-mel di jubliperak@ybk.org.my.
0 comments:
Post a Comment