Saturday, 7 February 2015

SIAPAKAH INDIVIDU BERNAMA PROF DATUK DR MIZAN ADILIAH ?


NILAI, 5 Februari 2015 - Bertempat di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kami berkesempatan bertemu dengan salah seorang individu yang pernah menjadi ALPA YBK pada 1996-1998. Individu ini bukan calang-calang orang, kini beliau adalah Pengarah Pusat PERMATA Insan USIM. Beliau yang dimaksudkan adalah YBhg. Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim.
LATAR BELAKANG TERKINI
YBhg. Prof. Datuk Dr. Mizan Adiliah kini menerajui Pusat PERMATA Insan USIM sebagai Pengarah. Pusat PERMATA Insan adalah program USIM untuk melahirkan ilmuan pemikir Islam berteraskan al-Quran dan al-Sunnah dari awal usia. YBhg. Datuk berpengalaman sebagai pensyarah dengan kepakaran dalam bidang kaunseling, psikoterapi, psikologi pendidikan dan latihan.
SEBAGAI ALPA YBK (1996-1998)
YBhg. Prof. memegang jawatan ALPA dari tahun 1996 hingga 1998. Sebagai individu yang berpengalaman luas dalam pendidikan, beliau telah melihat sendiri perkembangan program-program YBK berasaskan pendidikan seperti Asrama Kasih YBK Serendah, program motivasi cuti sekolah, kolej komuniti dan pelbagai lagi.
PENGALAMAN SIGNIFIKAN DI YBK
YBhg. Prof. memuji YBK yang mempunyai matlamat perjuangan yang jelas, iaitu pembasmian kemiskinan. Menurut beliau, tiada NGO pada waktu itu yang memperjuangkan isu kemiskinan secara berfokus, dan YBK merupakan peneraju dan menjadi contoh kepada yang lain.
YBK juga menurut beliau, amat komited dengan programnya. Beliau mengambil contoh program motivasi cuti sekolah yang melibatkan pelajar-pelajar luar bandar. YBK berjaya memberi suntikan semangat dan inspirasi kepada insan-insan ini untuk berjaya melalui pemerkasaan pendidikan.
Setiap program YBK berjaya menyentuh golongan sasar dan beliau berbangga dengan pencapaian YBK selaku NGO peneraju pembasmian kemiskinan.
HARAPAN SEMPENA 25 TAHUN YBK
YBhg. Prof. mengucapkan tahniah atas ulangtahun ke-25 YBK dan berharap agar lebih sukses di masa-masa akan datang. Beliau turut berharap agar YBK dapat bergerak ke hadapan dengan semangat baharu - dengan mempelbagaikan pendekatan kepada golongan sasar dan inisiatif untuk 'rebranding' bukan sahaja daripada sudut pengurusan tetapi aspek-aspek yang lain.
Beliau juga berharap agar alumni dan sukarelawan lebih proaktif dan menyumbang kepada YBK. Alumni adalah tonggak utama kerana mereka adalah insan-insan yang mendapat sentuhan terus daripada YBK hingga berjaya mentransformasikan hidup mereka daripada susah hingga berjaya, dan semangat 'giving back' itu perlu ada. YBK juga perlu lebih terbuka dan mengamalkan konsep 'reach-out' terutamanya kepada golongan muda.

0 comments:

Post a Comment