“Ia satu penghormatan bukan sahaja kepada saya dan keluarga saya tetapi juga kepada rakyat Malaysia,” kata Perdana Menteri dalam ucapannya sebelum bersama-sama adiknya Datuk Johari merasmikan pusat tersebut di kolej berkenaan, di Worcestershire, kira-kira 220 kilo­meter dari London.

Najib melanjutkan pelajaran peringkat menengah di kolej tersebut dari 1968 hingga 1971, sebelum Johari turut belajar di situ kemudian.

Berkongsi nostalgia dengan media Malaysia, Najib berkata, beliau melanjutkan pelajaran di kolej berkenaan pada usia 14 tahun dan itu merupakan kali pertama beliau ke luar negara.

“Saya seorang budak pemalu dan tidak pernah meninggalkan Malaysia sebelum itu. Saya benar-benar tidak tahu apa yang boleh dijangkakan,” katanya.

Najib berkata, antara sebab mengapa bapanya Tun Razak Hussein, menghantar beliau ke kolej ber­kenaan kerana Allahyarham bapa­nya tidak mahu dia dimanjakan ke­rana beliau (Najib) mungkin dilayan berbeza jika belajar di Malaysia.

“Bapa saya mahu saya berdikari dan membina perwatakan saya,” kata Najib sambil menambah bahawa bapanya mahu dia dilayan seperti mana pelajar biasa di kolej tersebut.

Perdana Menteri berkata, beliau dapat menyesuaikan diri dengan keadaan di kolej tersebut walaupun pada peringkat awal, ia bagaikan satu kejutan baginya.

“Belajar dalam budaya dan persekitaran yang berbeza telah mengajar saya untuk bagaimana menyesuaikan diri dengan kea­daan.

“Saya berasa selesa apabila bercakap dengan Obama (Presiden Amerika Syarikat Barack Obama), Cameron (Perdana Menteri Britain David Cameron) dan Xi Jinping (Presiden China),” katanya.

Najib berkata, pengalaman itu juga telah mengajarnya dengan mudah menyesuaikan diri apabila pergi ke Pertubuhan Bangsa-Bersatu, Istana Buckingham atau rumah panjang.

Ditanya kenangan manis dan pahit semasa di kolej tersebut, Najib berkata:

“Kenangan manis apabila saya menjaringkan lima gol semasa perlawanan bola sepak sukan rumah dan kenangan pahit, saya terpaksa tidur di gunung ketika latihan pada musim sejuk. Saya tidak dapat tidur sama sekali.”

Kolej berkenaan merupakan sekolah berasrama dan juga sekolah harian yang diasaskan pada 1865, dan ia menyambut 150 tahun penubuhannya semalam.

Pusat Sains Razak mempunyai 18 buah makmal canggih termasuk makmal pameran dan bilik-bilik persediaan tambahan.
Pengetua Malvern College Antony Clark berkata kemudahan baharu di kolej tersebut dapat menyediakan batu loncatan kepada saintis muda yang bercita-cita untuk menyumbang inisiatif nasional dan antarabangsa pada masa akan datang. – BERNAMA