Perdana Menteri berkata, rakyat juga perlu memupuk perasaan saling menghormati dan serasi di antara masyarakat berbeza latar belakang di negara ini, selain tidak melakukan sesuatu dengan bersandarkan kepada kebebasan mutlak.

“Kalau kita nak dunia ini aman kita mesti melahirkan satu keadaan di mana apa yang kita lakukan adalah dengan penuh rasa tanggungjawab. Kalau nak kata kerana kebebasan (kita) boleh kutuk agama orang lain, itu membawa kepada kemudaratan yang begitu berat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-63 di sini, hari ini.

Mengambil contoh insiden serangan berdarah ke atas pejabat majalah satira Perancis, Charlie Hebdo di Paris baru-baru ini, Najib berkata kejadian seumpama itu boleh berlaku jika sensitiviti agama tidak dihormati. - BERNAMA