Editor dan kartunis majalah satira, Charlie Hebdo yang berpejabat di Paris tidak pernah serik. Majalah yang mula diterbitkan pada 1970 dengan nama Hara Kiri Hebdo itu tidak mahu belajar daripada serangan di pejabatnya baru-baru ini.
Jika biasanya hanya 60,000 naskhah diterbitkan, namun edisi terbaharu menyaksikan lima juta naskhah diterbitkan dan segera mendapat sambutan hangat daripada pembaca di Perancis.
Hasil jualan edisi berkenaan akan disalurkan untuk keluarga mangsa yang terkorban. Sesiapa yang pernah berkunjung ke Paris dan membelek majalah itu, pasti tahu bahawa tumpuannya adalah kepada laporan berbentuk polemik, kartun, dan humor, dengan gaya khas. Penerbitan berkenaan disifatkan sebagai antirasis, antiagama, dan artikel bersifat provokatif, terutama mengenai Islam.
Sesungguhnya, serangan yang menyaksikan 12 orang terkorban, bukan baharu, kerana hakikatnya, majalah itu menyaksikan serangan pada tahun 2011, akibat daripada tindakannya menghina Nabi Muhammad SAW. Dalam keluaran terbaharu, muka depan majalah biadab itu memaparkan kartun Nabi Muhammad SAW sedang menangis di bawah tajuk 'Semuanya dimaafkan.'
Keluaran terbaharu laris bagai pisang goreng panas dan habis hanya dalam beberapa minit ekoran daripada keghairahan orang ramai untuk memilikinya selepas kejadian ngeri. Edisi terbaharu bakal diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Itali, Sepanyol dan Arab.
Majalah ini tidak sunyi daripada kontroversi disebabkan dasar editorialnya yang tidak mempedulikan sentimen dan perasaan penganut agama lain, malah orang Palestin pernah dianggapnya tidak bertamadun dan menyiarkan kartun Nabi Muhammad SAW membawa bom. Kartun Nabi Muhammad SAW yang mencetuskan kontroversi pada tahun 2006 turut diterbitkan dalam majalah itu, menyebabkan lebih 300,000 naskhah terjual.
Beri persepsi buruk
Pada tahun 2011, misalnya, pejabat itu pernah diserang dan laman webnya digodam ekoran tindakannya menerbitkan keluaran khas 'Undang-undang Syariah' dengan Nabi Muhammad SAW sebagai ketua editor. Mereka bagai tidak menghiraukan perasaan umat Islam. Tindakan provokatif itu tidak akan membantu menyelesaikan ketegangan dalam hubungan antara umat Islam dengan agama lain. Malah, ia memburukkan lagi keadaan dan memberi persepsi buruk terhadap agama itu. Kini pun kita menyaksikan banyak umat Islam di pelbagai negara memprotes.
Sesungguhnya, setiap kebebasan ada batasnya kerana atas nama kebebasan bersuara, kita tidak boleh membenarkan kebebasan yang keterlaluan. Tidak ada kebebasan mutlak dalam bersuara dan menulis kerana prinsip sedemikian hanya akan mengundang padah, lebih-lebih lagi jika membabitkan etnik, agama, budaya dan hal-hal sensitif. Inilah pengajaran moral kepada kita di Malaysia untuk menghormati agama lain.
Kita perlu menerima hakikat bahawa tindakan berbentuk provokasi dan kenyataan yang menghina agama lain, hanya akan mencetuskan masalah lebih besar. Kedegilan editor Charlie Hebdo untuk terus-terusan menghina dan memperlekeh agama Islam mencetuskan kemaraham umat Islam. Memang, tidak ada orang yang rasional bersetuju dengan perbuatan membunuh staf terbabit, namun itulah yang boleh berlaku jika editor yang sepatutnya bijaksana dan rasional, tidak memainkan peranan sebagai gatekeeper yang bertanggungjawab.
Bukan lesen menghina agama lain
Di Malaysia, kita tidak boleh amal kebebasan bersuara seperti di Barat dan majalah berkenaan, yang kuat dipengaruhi falsafah individualisme. Di sebuah negara pelbagai etnik, agama dan budaya, dasar editorial kita perlu berpaksikan kepada keharmonian hubungan etnik dan kestabilan sosiopolitik, kerana kebebasan bersuara yang ekstrem tidak bermakna langsung jika tercetus rusuhan kaum. Kebebasan bersuara dan berkarya bukan lesen untuk menghina agama lain.
Di bawah Perlembagaan, hak asasi kebebasan bersuara diberikan kepada rakyat. Namun, hak di bawah artikel berkenaan, tertakluk kepada beberapa sekatan tertentu. Sekatan terhadap kebebasan dibenarkan demi keselamatan negara, ketenteraman awam, perhubungan baik dengan negara lain, hak istimewa parlimen, moral, penghinaan mahkamah, hasutan dan fitnah. Memang, akhbar atau media yang bebas menjadi prasyarat penting bagi demokrasi, sebagai jalan menuju kebenaran dan alat kepada pencapaian intelektual tertinggi dan pencapaian politik, ekonomi dan estetika, namun kebebasan tanpa batasan boleh membawa kehancuran dan kekacauan.
Dasar editorial yang tidak bertanggungjawab boleh mencetuskan keadaan huru-hara, malah rusuhan dan ketegangan yang sekali-sekala berlaku di negara kita sejak 50 tahun lalu, turut berpunca daripada pemberitaan yang tidak bertanggungjawab. Justeru, media kita perlu disekat melalui pelbagai akta dan undang-undang demi kebaikan kita dan masa depan negara. Bayangkan apakah yang akan terjadi jika kita biarkan majalah dan akhbar dalam pelbagai bahasa di negara ini melaporkan sesuka hati isu sensitif berkaitan etnik lain seperti yang dilakukan oleh Charlie Hebdo?
Media sepatutnya memainkan peranan klasiknya untuk memberitahu, mendidik, menghibur dan meningkatkan kesedaran rakyat, termasuk mengenai pentingnya memelihara hubungan harmoni dalam kalangan pelbagai etnik. Editor yang mengendalikan media di negara ini perlu belajar daripada kejadian di Paris, dengan tidak menjadi pencetus provokasi dan penyemarak hasutan terutama mengenai etnik dan agama. Setiap majalah dan akhbar perlu menghormati agama Islam, orang Islam dan Nabi Muhammad SAW. Kata-kata yang menghina dan menghasut hanya akan menyakitkan perasaan etnik dan penganut agama terbabit yang kemudiannya meledakkan kemarahan membawa kepada serangan.
dr jeniri amir
Penulis ialah Pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak
0 comments:
Post a Comment