Sunday 12 October 2014

UNDI MEMBAWA MANAFAAT KEPADA RAKYAT.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan tiga projek khusus untuk penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor dalam tiga program sempena lawatan separuh hari ke kawasan tersebut hari ini.

Ketigatiga projek tersebut ialah pembinaan sebuah dewan komuniti untuk masyarakat Siam, menaik taraf Pondok Simpangan sebagai pondok moden dan pembinaan 11 buah jeti bernilai RM2.5 juta termasuk sebuah jeti besar di kawasan tersebut.

Pengumuman mengenai pembinaan dewan bernilai RM1 juta itu dibuat oleh Najib ketika berucap dalam Program Pemimpin Bersama Masyarakat Kunjungan Mesra yang dihadiri hampir 2,000 penduduk Siam di Wat Machimmaram, Kampung Jubakar Darat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, dewan komuniti berkenaan merupakan salah satu bentuk penghargaan kepada masyarakat Siam yang selama ini menjadi penyokong setia Barisan Nasional (BN).

"Kita ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat Siam yang memberi sokongan luar biasa kepada calon BN, Mat Razi Mat Ail sehingga beliau dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor.

"Ini terbukti apabila Jubakar Darat menjadi kawasan peti undi terbesar, iaitu hampir 90 peratus daripada pengundinya memberi sokongan kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor," katanya.

Pada PRK DUN Pengkalan Kubor 25 September lalu, Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi untuk menewaskan calon Pas, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Sementara itu, ketika melawat Pondok Simpangan, beliau mengumumkan untuk menaik taraf institusi pengajian Islam tradisional itu kepada sebuah pondok moden untuk keselesaan para pelajar.

Najib berkata, keadaan pondok yang diasaskan oleh Mat Razi perlu dinaik taraf kerana keadaannya yang agak menyedihkan.

"Kita akan naik taraf pondok jadi pondok moden, saya pun sedih tengok pondok, saya naik pondok pun takut, bergegar, saya lulus peruntukan khas ini," katanya yang turut menunaikan solat asar berjemaah di Masjid Simpangan.

Dalam program terakhirnya bersama rakyat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pengkalan Kubor di Kampung Geting di sini, beliau yang juga Presiden UMNO mengumumkan pembinaan sebuah jeti besar dan 10 buah kecil untuk kegunaan nelayan di kawasan tersebut.

"Saya datang untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada adik kakak yang bekerja begitu kuat untuk memastikan kemenangan BN dalam PRK DUN Pengkalan Kubor," katanya.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Mat Razi.

0 comments:

Post a Comment