Thursday, 18 December 2014

DR SHAMRAHAYU : PERLEMBAGAAN PERLU DIHORMATI.


Perlukah kenyataan berkenaan undang-undang Islam yang tidak mengikat bukan Islam disebut-sebut lagi? Kenyataan Lim Guan Eng berkaitan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Pulau Pinang) 2004 membingitkan keadaan dan boleh mengusutkan suasana.
Begitu juga dengan kenyataan beliau mengenai penggunaan kalimah Allah. Bukankah membangkitkan perkara sebegini bermakna membuka kembali episod yang mahu diselesaikan secara harmoni?
Kita maklum kedudukan undang-undang Islam di negara ini. Kita maklum undang-undang Islam dan aplikasinya. Kita maklum bidang kuasa Mahkamah Syariah. Mahkamah berkenaan hanya berbidang kuasa ke atas penganut Islam dan ia tidak mempunyai bidang kuasa ke atas bukan Islam. Begitu juga dengan kuasa pendakwaan. Pihak berkuasa agama tidak berkuasa untuk mendakwa bukan penganut Islam. Kita memang maklum, tetapi adakah seseorang yang tidak menganut Islam bebas mengabaikan atau mengusulkan supaya undang-undang itu tidak dihormati?
Sistem negara akan gagal jika tiada rasa hormat
Bagi sebuah negara persekutuan, sistem dualisme undang-undang dan dwisistem mahkamah, setiap pihak hendaklah menghormati dan mentaati kedua-dua sistem undang-undang itu. Jika tidak, sistem negara akan gagal.
Seseorang yang tidak dirangkum di bawah undang-undang pentadbiran Islam yang diluluskan oleh Dewan Perundangan yang kompeten dan tidak pernah diisytiharkan sebagai tidak sah itu, tidak boleh menolak - mereka hendaklah menerima keadaan bahawa undang-undang itu adalah undang-undang yang sah dan dipakai walaupun mereka tidak boleh dibawa ke mahkamah jika melanggar undang-undang berkenaan.
Di mana kesetiaan kepada kedaulatan undang-undang? Adakah sesuatu undang-undang itu perlu dihormati hanya ketika undang-undang itu boleh menghukum? Adakah semua undang-undang mengharap penguatkuasaan sahaja; tiada rasa tanggungjawab dalam diri masing-masing. Jika beginilah sikap rakyat negara ini, maka akan luputlah prinsip kedaulatan undang-undang dan rugilah negara.
Dalam keadaan ini, di sinilah perlunya bukti nilai diri, bukti cintakan negara dan bukti menerima sistem yang diterima pakai. Di sinilah bukti kesetiaan kepada negara dan sistemnya. Ia tanda hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat berbeza agama.
Jika bercakap semata-mata atas dasar undang-undang, kita hendaklah faham keseluruhan sistem undang-undang itu tanpa merendah atau menafikan sistem. Dalam menjayakan sistem dualisme yang beroperasi serentak dan beriring di negara kita, ia bukan semata-mata soal undang-undang, tetapi merangkumi soal perjanjian. Ia termasuk soal kesetiaan, toleransi dan saling menghormati.
Ketaatan isu serius
Isu ketaatan kepada undang-undang dalam sistem federalisme dan dualisme sebegini sangat mencabar. Isu ini perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya. Atas dasar itu, minggu lalu saya mencadangkan dalam ruangan ini supaya kita betul-betul faham mengenai toleransi dan penerimaan sistem negara persekutuan yang sedang kita amalkan ini.
Dalam sistem federalisme dan dualisme ini kita tidak boleh bercakap semata-mata atas dasar pendakwaan dan pelaksanaan undang-undang. Undang-undang adalah kata-kata yang kaku. Pendakwaan adalah antara mekamisme menghidupkan kata-kata kaku undang-undang itu, tetapi selain daripada pelaksanaannya, undang-undang perlu dihormati dan kita bertanggungjawab menggerakkannya.
Ada pelbagai perkara yang tidak boleh diselesaikan hanya dengan pelaksanaan undang-undang, termasuk perasaan atau sensitiviti agama.
Dalam soal sensitiviti, terutama berkaitan agama, undang-undang tidak semestinya menjadi satu-satunya jalan penyelesaian dan ada kalanya kita tidak memerlukan undang-undang yang menghukum, tetapi kita memerlukan sedikit rasa faham dan hormat.
Cuba kita fikir sejenak mengenai negara dan tanggungjawab kepada negara, bukan berfikir kehendak kita dan mahukan kepuasan hati sahaja. Boleh atau tidak boleh dipertuduhkan di mahkamah adalah satu perkara, tetapi keharmonian negara juga penting. Tidak semua yang ada dalam sistem perundangan akan menyelesaikan masalah kalau perasaan masyarakatnya tidak harmoni.
Keutuhan sesebuah negara bukan semata-mata bergantung kepada undang-undang sahaja, ia memerlukan masyarakat menghormatinya - menghormati undang-undang dan sistem perundangannya. Gagal menghormati semua undang-undang adalah petanda kepada lunturnya keluhuruan Perlembagaan dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak patut mengeluarkan kenyataan seperti itu.
Penulis ialah Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

1 comments:

usin said...

Bahasa kasarnya, lge.memang biadab dan kurang ajar. Jika lge reti reliti sejarah kaumnya malah keluarganya (rujuk kit siang bapanya), maka dia tak akan dan tak perlupun mempertikai apa2 hukum dalam perlaksanaan undang2 dan cara hidup islam. Kerakyatan yang diberi sehingga menyebabkan kaum yang merempat dan bangsat mendapat taraf warganegara dah mula lupa diri. Tak jauh lagi tu dia punya lapis keturunan, baru dua generasi. Dah mula tunjuk biadab, kurang ajar, tak hormat kepada majoriti kaum yang sanggup menerima kaumnya hidup senegara. Silap melayu menerima cina menjadi warga tidak perlu disesali, itu perkara lepas...dan orang yang bersetujupun ramai dah tiada. Apa yang perlu dilakukan ialah lawan dan bertahan demi agama Islam dan akidah Islam...

Post a comment