Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih dan penghargaan kepada para mahasiswa dari seluruh negara yang sanggup berkorban masa dan tenaga dalam usaha membantu mangsa banjir.
Perdana Menteri juga yakin dan percaya segala usaha serta pengorbanan tersebut turut dihargai khususnya oleh mangsa-mangsa banjir yang menerima bantuan dan sumbangan secara langsung daripada mereka.
“Saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan saya juga yakin dan percaya sumbangan para mahasiswa kita ini akan sentiasa dihargai khusus oleh mangsa banjir.
“Mudah-mudahan juga sumbangan saudara dan saudari akan membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti sedia kala dengan kadar seberapa segera,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al Manar Presint 14 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas komitmen serta pengorbanan yang ditunjukkan
oleh para mahasiswa seluruh negara dalam membantu mangsa banjir terutama di kawasan terjejas teruk akibat bencana itu.
Sepanjang kejadian banjir buruk di Pantai Timur dan beberapa negeri lain baru-baru ini, sumbangan kewangan, makanan dan barangan keperluan daripada pelbagai pihak datang mencurah-curah kepada mangsa-mangsa.
Bantuan juga diberi oleh ribuan sukarelawan daripada pelbagai kumpulan dan latar belakang tanpa mengira kaum dan agama, termasuk golongan mahasiswa.
Mereka bekerja keras siang dan malam membantu mangsa-mangsa banjir di pusat-pusat pemidahan atau tugas-tugas pengagihan bantuan ketika bencana tersebut masih melanda dan juga pascabanjir.
Terdahulu dalam satu majlis ringkas, Perdana Menteri membuat kejutan apabila menyerahkan surat pencalonan tawaran menunaikan haji di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun ini kepada Imam Dua surau tersebut, Mohd. Qutub Amran, 24.
Antara yang hadir Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Pengarah Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Paimuzi Yahya dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Dr. Mohamed Fadzil Che Din.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/pm-hargai-pengorbanan-mahasiswa-1.46407#sthash.ujjQMB9I.dpuf
0 comments:
Post a Comment