Pelancaran tersebut disempurnakan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak sampai tiga minggu selepas beliau sendiri mengumumkan mengenai pembaharuan sistem keahlian itu pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, hujung bulan lalu.

Najib dalam ucapannya berkata, sistem pendaftaran keahlian secara dalam talian bukan sahaja akan menghapuskan kerenah birokrasi yang membelenggu UMNO, tetapi bakal menggalakkan lebih ramai golongan muda dan profesional menjadi ahli.

Tegasnya yang juga Perdana Menteri, pembaharuan tersebut turut menjadikan UMNO lebih segar, dinamik, progresif serta mengamalkan keterbukaan selaras dengan hasrat pucuk kepemimpinan untuk meremaja dan mentransfromasikan parti itu.

“Cerita borang hilang, cerita borang kena renyuk, cerita hantar borang tak diterima, cerita kena isi borang sampai dua tiga kali, kita dah letih. Kita berhasrat membuka UMNO kepada generasi muda yang kita sebut sebagai Gen Y.

“Sebab mereka ini sebenarnya ramai yang berminat mahu menjadi ahli UMNO. Ramai yang jumpa saya cakap mereka minat tetapi malangnya sebelum ini wujud banyak sangat kerenah birokasi,” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

UMNO ketika ini mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli di seluruh negara tetapi mendapat banyak rungutan khususnya daripada golongan profesional dan orang muda akibat kesukaran untuk menjadi ahli disebabkan sikap negatif segelintir pemimpin.

Menurut Najib, sistem pendaftaran secara dalam talian itu dibuat selari dengan Perlembagaan UMNO iaitu setiap nama ahli baharu akan dihantar kepada badan perhubungan negeri, seterusnya disalurkan kepada bahagian sebelum diagihkan ke cawangan.

Jelasnya, jika terdapat unsur-unsur penipuan atau cubaan daripada ahli parti pembangkang untuk mengekspoitasi sistem keahlian baharu tersebut dengan menyelinap ke dalam UMNO sebagai ahli, keahlian mereka akan dibatalkan serta-merta.
“Semua maklumat diri mesti tepat dan betul, baru kita luluskan keahlian. Kalau ada ahli parti pembangkang katakan, dia nak menyusup masuk, kita kemudian hari dapati dia ahli parti pembangkang, maka terbatal pendaftarannya,” kata beliau.
Dalam pada itu, beliau mengulangi maksud sebenar konsep peremajaan UMNO iaitu bukan bererti dari sudut mahu membuka pintu kepada orang muda atau mengganti pemimpin lama dengan muka baharu secara mengejut semata-mata.
Sebaliknya jelas Najib, peremajaan yang dikehendaki oleh pucuk pimpinan ialah meliputi setiap aspek, amalan serta pendekatan yang digunakan dalam parti.