Thursday, 16 October 2014

MALAYSIA DIIKTIRAF SEBUAH NEGARA PALING AMAN. PELIHARALAH KENIKMATAN INI.


Keseimbangan antara jaminan Perlembagaan terhadap kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan hak kebebasan beragama bagi masyarakat bukan Islam telah meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang paling aman dalam aspek hubungan antara agama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum dan agama, konflik antara agama yang membawa kepada kacau bilau dan pertumpahan darah sepertimana yang berlaku di banyak negara majmuk yang lain, tidak berlaku di negara ini.

"Alhamdulillah ini adalah rahmat anugerah Allah kepada Malaysia berkat kebijaksanaan dan wawasan jauh kepemimpinan negara kita dalam mengekalkan keamanan dan keharmonian dalam sebuah negara majmuk," katanya ketika melancarkan Kursi Kepemimpinan Islam Tuan Guru Haji Mohd. Yassin Muhammad di Dewan Besar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang; Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

Kata Muhyiddin, selaras dengan hak kebebasan beragama, masyarakat bukan Islam juga boleh menubuh serta mengurus tempat ibadat dan institusi agama mereka sendiri untuk tujuan pembelajaran serta amalan kepercayaan agama bagi penganut agama masing-masing.

Sehubungan itu, Muhyiddin menegaskan, model Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden, progresif dan stabil amat penting dikaji secara lebih mendalam.

Mengenai Kursi Kepemimpinan Islam Tuan Guru Haji Mohd. Yassin Muhammad, Muhyiddin berkata, ia salah satu usaha menjadikan negara ini sebagai sumber rujukan utama dalam bidang kajian kepemimpinan Islam kontemporari.

Penubuhan kursi dinamakan sselain amat mengambil berat tentang kemajuan anak Melayu dalam bidang akademik sehinggalah tertubuhnya sebuah sekolah swasta, Sekolah Menengah Mohd. Yassin di Muar pada tahun 1965, selain mengasaskan Madrasah al-Sa'adiah.

Pada majlis tersebut, turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Nurul Yaqeen diwakili Ismail dan USIM diwakili Musa dengan menyaksikan dana permulaan sebanyak RM500,000 untuk tempoh setahun.

Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak telah dilantik sebagai penyandang pertama kursi tersebut sejak Ogos lalu.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

0 comments:

Post a Comment