Monday 20 October 2014

BAJET 2015 MENYELURUH DAN FOKUS PADA GOLONGAN SASARAN.

Bajet yang baik adalah pengurusan pendapatan dan perbelanjaan yang dapat memberi keselesaan kepada sebahagian besar rakyat. Mereka yang mendapat faedah atau habuan secara langsung daripada peruntukan yang disediakan dalam sesuatu bajet akan menganggapnya sebagai memihak kepada rakyat.

Bajet tidak boleh selamanya menjadi klise untuk menyedapkan hati. Ia mestilah boleh dibuktikan. Namun, tidak dapat dielakkan, sesuatu bajet tidak boleh memuaskan semua golongan masyarakat. Itulah sebabnya setiap kali pembentangan bajet, ada individu atau kumpulan mengatakan mereka tidak mendapat faedah secara langsung.

Kita juga sering mendengar pihak tertentu mengatakan bajet yang dibentangkan tidak menarik atas alasan kumpulannya tidak mendapat sebarang habuan atau apa yang dihajati daripada pembentangan bajet. Bagi kumpulan yang mendapat habuan, ia menganggapnya bajet yang memihak kepada diri dan kumpulan yang berkepentingan sama dengannya. Keadaan seperti ini berlaku di mana-mana saja di dunia ini.

Setiap individu hanya melihat faedah langsung tetapi mengetepikan faedah tidak langsung yang setiap orang pasti menerima kesannya. Dalam sesebuah negara, terlalu banyak kumpulan yang mengharapkan habuan.

Bajet ikut kesesuaian

Dalam konteks Malaysia, kerajaan mempunyai matlamat dan sasaran sebagaimana digariskan dalam bajet setiap tahun mengikut kesesuaian. Bagi yang tidak mendapat faedah langsung dalam bajet kali ini, mereka tidak sepatutnya kecewa. Mereka mungkin termasuk dalam kumpulan yang sudah mendapat faedah daripada bajet yang lalu atau bajet bagi tahun akan datang.

Biasanya, setiap individu hanya melihat bajet yang dibentangkan setiap tahun berpandukan kepada faedah ringgit dan sen semata-mata, Mereka juga menilai baik atau buruknya sesuatu bajet itu dari kaca mata mereka berpandukan kepada sama ada mereka mendapat faedah atau sebaliknya.

Bajet perlu dilihat dalam konteks keseluruhan struktur masyarakat dan kepentingan negara. Bagi Bajet 2015, kumpulan yang mendapat faedah adalah besar. Antara kumpulan berkenaan ialah yang mewakili setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah yang akan menerima bantuan RM950 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 hingga RM4,000 yang mendapat RM750.

Kakitangan awam adalah kumpulan besar yang mendapat pelbagai faedah dari segi pembayaran bonus setengah bulan selain faedah lain termasuk kemudahan pinjaman perumahan. Seramai 300,000 individu juga tidak perlu membayar cukai pendapatan berikutan pengurangan cukai pendapatan individu antara satu hingga tiga peratus, selain golongan yang berpendapatan RM4,000 sebulan dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan.

Pesara juga menerima RM250 sebagai bonus. Kumpulan lain yang mendapat faedah ialah belia menerusi skim perumahan belia untuk memiliki rumah bernilai kurang RM500,000 untuk mereka yang sudah berkahwin dan berusia antara 25 hingga 40 tahun. Seramai 44,000 nelayan darat juga mendapat elaun RM200. Elaun sara hidup nelayan di zon tertentu dinaikkan daripada RM200 kepada RM300, manakala zon tertentu yang lain dinaikkan kepada RM250.

GST beri impak besar

Apabila cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun depan, ia dijangka turut memberi impak yang besar kepada ekonomi negara dengan penurunan harga 532 barang sehingga 4.1 peratus. Ini adalah faedah tidak langsung yang membabitkan semua kumpulan, bergantung kepada keperluan penggunaan secara meluas barangan yang disenaraikan.

Kebaikan sesuatu bajet tahunan tidak boleh diukur daripada jumlah peruntukan yang besar semata-mata kerana ia turut membabitkan pelbagai faktor dan keperluan semasa.

Apabila Bajet 2015 memberi peruntukan yang besar kepada sektor pendidikan dengan peruntukan RM56 bilion, ia menunjukkan keutamaan negara berada pada landasan yang betul. Tidak seorang pun boleh mengatakan mereka tidak ada kaitan dengan bidang pendidikan kerana setiap orang memerlukan pendidikan.

Keseluruhan Bajet 2015 yang memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion untuk mengurus dan membangunkan negara, adalah satu jumlah yang besar bagi negara seperti Malaysia. Peruntukan ini juga diagih kepada kumpulan yang besar kerana tumpuan bajet untuk tahun depan adalah jelas berpaksikan kepada tujuh strategi utama.

Bajet 2015 bertumpu kepada strategi memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi dan memantapkan tadbir urus fisikal.

Ia juga untuk mengupayakan modal insan dan keusahawanan, memperkasa agenda Bumiputera, memartabatkan peranan wanita, membangunkan program transformasi belia negara dan mensejahterakan rakyat.

Di bawah tujuh strategi ini, pelbagai inisiatif digariskan untuk memenuhi cita rasa strategi berkenaan. Semua ini boleh dilakukan kerana kerajaan tidak menghadapi masalah yang boleh mengalih peruntukan untuk tujuan lain. Contohnya, di negara menghadapi masalah tekanan ekonomi, bajet negara sudah tentu bertumpu kepada usaha memulihkan ekonomi.

BH

0 comments:

Post a Comment