Persoalan besar sempena Ogos, bulan merdeka; Masih adakah lagi semangat patriotisme dalam kalangan warga Malaysia. Persoalan ini ketara dalam bulan ini kerana ia bulan merdeka. Bagi menjawab soalan itu, secara keseluruhannya saya percaya, masih ramai antara kita menjunjung semangat waja sayangkan agama, bangsa dan negara. Masih ramai kalangan kita yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.
Namun, tidak salah untuk kita berasa bimbang mengenai terhakisnya perasaan cinta dan sayang kepada agama, bangsa dan negara. Tidak salah untuk kita berasa ragu sama ada masih kukuh lagikah perasaan kasih dan cinta mendalam kepada agama, bangsa dan negara. Kebimbangan ini ada asasnya. Dalam masyarakat kini kita sudah banyak menyaksikan perkara bercanggah dengan norma asal negara. Ia agak ketara, seperti insiden yang bercanggah dengan kemoralan atau adat dan budaya kita. Sudah banyak kedengaran dan kelihatan pengucapan dan perbuatan yang merendahkan amalan dan budaya kita.
Oleh itu kita harus juga sedar bahawa menanam semangat patriotisme ini adalah proses yang perlu diperkasa setiap masa. Ia juga perlu dilakukan secara formal dan juga secara tidak formal.
Tak mudah tanam semangat patriotisme
Namun, kita tidak boleh nafi bahawa menanam semangat patriotisme bukan mudah. Semangat patriotisme ini tidak boleh disampaikan dan ditanam dalam perasaan dan jiwa masyarakat seperti kita menyampaikan ilmu lain. Patriotisme memerlukan kesedaran mendalam mengenai sejarah, budaya dan juga pencapaian negara. Patriotisme mempunyai nilai yang tidak boleh dinilai. Ia lebih kepada kesedaran. Ia adalah mengenai sifat dan jati diri.
Kita perlu akur bahawa patriotisme mengandungi nilai abstrak yang perlu diserap dan ditanam dengan mengalirkannya dalam saraf dan darah, dalam jiwa masyarakat. Oleh itu sudah tentu proses ini tidak sama dan tidak serupa dengan memberi tunjuk ajar teknikal seumpama memberi faham mengenai formula matematik atau perkara teknikal lain.
Dengan kata lain, pengajaran secara formal berkenaan patriotisme tidak boleh sepenuhnya menjamin terbentuknya dengan mudah patriotisme ini. Walaupun kita boleh mengisi semangat patriotisme itu dalam kurikulum di sekolah atau kursus tertentu, kita perlukan lebih daripada itu.
Menyerapkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, tidak kira usia, sentiasa menjadi proses; tahap 'patriotisme' itu berubah-ubah mengikut masa. Malah, kita perlu mengambil perhatian bahawa semangat patriotisme juga berbeza-beza dalam kalangan kelompok politik. Kelompok politik di sini bukan saja bermaksud parti politik, tetapi merujuk juga kepada kumpulan atau kelompok masyarakat.
Sekiranya kita agak leka sebelum ini, kita masih belum terlambat. Kita masih mempunyai warga yang masih jitu dan utuh semangatnya.
Namun, kita ada kalanya menemui masalah. Adakalanya kerajaan disalah anggap bahawa menanam semangat patriotisme disalah faham dengan menanam perasaan sayangkan parti politik tertentu.
Beza agenda negara, politik
Kita mesti pisahkan sentimen ini. Masyarakat merdeka ini mesti dapat membezakan antara semangat patriotisme, prinsip asas atau falsafah negara dan semangat berparti politik. Kita perlu matang dalam membezakan agenda negara dan agenda parti politik. Sehingga kita dapat membezakan ini, tidak mudah untuk kita mencerna semangat patriotisme.
Keseluruhan masyarakat tidak boleh menyerahkan tanggungjawab menyemarakkan semangat patriotisme ini kepada kerajaan atau pihak berwajib seperti sekolah atau agensi tertentu saja. Media dan seluruh anggota masyarakat perlu mengambil bahagian. Kita perlu memahami dan benar-benar menghayati semua perkara yang membentuk jati diri negara.
Perkara yang perlu kita ambil perhatian dalam menanam semangat patriotisme ini ialah dengan memperkasa pemahaman dan penghayatan semua lapisan masyarakat terhadap falsafah negara. Falsafah negara yang dimaktubkan dalam lima Rukun Negara itu perlu diulang dan disebar, diberi penjelasan dan dihangatkan penerimaannya, pada setiap masa, bukan saja pada bulan Ogos.
Lima prinsip atau falsafah negara itu adalah inti pati kepada semangat patriotisme. Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. Semua lima Rukun Negara ini perlu diserap dalam darah, saraf dan nadi anak bangsa merdeka ini.
Penulis ialah Prof Madya, Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia
0 comments:
Post a Comment