Wednesday 13 August 2014

PEMBELAAN KE ATAS PALESTIN TIADA HAD.


Walaupun bukan sebuah negara yang besar, tetapi faktor tersebut tidak menghalang kelantangan Malaysia dalam memperjuangkan keadilan untuk Palestin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjuangan Malaysia untuk Palestin juga tidak terhad kepada kenyataan bahkan ditunjukkan dalam bentuk tindakan.

"Hari ini kita tunjukkan keikhlasan untuk membantu rakyat Palestin iaitu kumpulkan satu pasukan sukarelawan yang berani masuk ke Gaza.

"Mereka membawa ubat-ubatan dan barang-barang yang diperlukan untuk meringankan penderitaan yang sedang dihadapi kanak-kanak dan penduduk Gaza.

"Ini bukan misi yang mudah dan ada bahayanya, tetapi semangat rakyat Malaysia khususnya sukarelawan adalah tinggi," katanya dalam majlis pelepasan 43 sukarelawan Malaysia ke Gaza di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Mereka merupakan sebahagian daripada 71 sukarelawan termasuk doktor yang diketuai Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di Gaza.

Pemimpin yang hadir dalam majlis pelepasan berkenaan ialah Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Yang turut hadir Duta Mesir ke Malaysia, Salleh Mohi Eldin El Wassimy dan Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar H. Al Agha.

Muhyiddin berkata, pendirian Malaysia dalam isu Gaza adalah amat jelas iaitu menentang segala bentuk kezaliman Zionis ke atas Palestin.

"Mereka tidak harus dianiaya dengan sebegitu rupa. Tanpa belas kasihan dan perikemanusiaan, ribuan nyawa tidak berdosa telah dibunuh.

"Kita telah nyatakan secara lantang dalam banyak forum, pemimpin Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyatakan kebencian terhadap apa yang berlaku di Gaza," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my

0 comments:

Post a Comment