Thursday, 17 July 2014

MUZAKARAH EKONOMI MELAYU PERLU DIWUJUDKAN.

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan menubuhkan Muzakarah Ekonomi Melayu (MEM) bagi meningkatkan keberkesanan tindakan ke arah memperkasakan ekonomi bumiputera.

Pengerusinya, Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, MEM akan dianggotai oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) utama berkaitan ekonomi bumiputera yang ketika ini menjalankan program secara bersendirian.

Kata beliau, penubuhan jawatankuasa itu akan menyelaraskan program-program tersebut agar perjuangan untuk memartabatkan agenda ekonomi bumiputera berjalan seiring dan mendapat sokongan semua NGO.

"Gabem melihat perlunya satu jawatankuasa untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan program antara NGO terlibat dengan duduk semeja bagi membuat penyelarasan supaya tidak bertindih," katanya kepada pemberita dalam majlis berbuka puasa bersama gabungan itu di sini semalam.

Menurut Rahim, usaha itu turut membolehkan NGO-NGO berkenaan mencari kata sepakat mengenai bentuk program atau cadangan yang ingin disuarakan seterusnya disampaikan kepada syarikat berkaitan (GLC), kementerian berkaitan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa sama, kata beliau, penubuhan MEM membolehkan NGO-NGO tersebut membentuk satu rangkaian bagi menyuarakan hasrat bumiputera sama seperti NGO ekonomi masyarakat Tionghua.

"Selagi berpecah selagi itulah kita sukar hendak menggerakkan perjuangan memperkasakan agenda ekonomi bumiputera dengan berkesan," ujar beliau.

Tambahnya, Gabem juga akan bekerjasama dengan beberapa universiti tempatan untuk membuat kajian dan pemantauan mengenai tindakan GLC atau agensi yang terlibat dengan ekonomi bumiputera.

Katanya, hasil kajian itu akan digunakan sebagai pendapat profesional kedua untuk disalurkan kepada Majlis Ekonomi Bumiputera.

"Kita mahu melihat GLC atau agensi terlibat bukan sahaja membuat keuntungan tetapi turut berusaha menyuburkan keusahawanan bumiputera," katanya

0 comments:

Post a Comment