Wednesday 2 July 2014

KORIDOR UTARA TARIK PELABURAN RM6.7B

PUTRAJAYA 1 Julai - Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) berjaya menarik pelaburan RM6.7 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini dan ia lebih sebahagian daripada sasaran yang ditetapkan untuk 2014 iaitu RM10 bilion.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq berkata, sektor pelancongan dan pembuatan masih menjadi bidang pelaburan di wilayah koridor utara dalam tempoh berkenaan di samping sektor pertanian dan logistik.

Kata beliau, hasil daripada jumlah pelaburan itu juga telah berjaya mewujudkan 9,800 peluang pekerjaan dan jumlah tersebut melepasi sasaran awal yang telah ditetapkan iaitu 8,000 peluang pekerjaan.

"Koridor utara telah memasuki fasa kedua pembangunannya pada tahun 2013 dan pihak NCIA telah menyediakan asas kukuh ke arah menjadikan wilayah ini sebagai ekonomi bertaraf dunia menjelang tahun 2025," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mewakili NCIA dalam majlis pertukaran dokumen antara agensi tersebut dengan KPJ Healthcare Berhad; Eco Medi Glove Sdn. Bhd.; Sentienx Sdn. Bhd. dan Senja Aman Holdings Sdn. Bhd.

Keempat-empat syarikat tersebut akan terlibat dalam pembangunan NCIA di empat negeri di bawah wilayah ekonomi koridor utara iaitu Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Redza berkata, industri pelancongan perubatan serta resort kesihatan antara bidang yang dilihat mampu berkembang pesat di koridor utara.

"KPJ kini sedang membina sebuah hospital swasta di Perlis dan apabila siap sepenuhnya kita jangka selain daripada penduduk tempatan mereka yang berada di selatan Thailand turut tertarik untuk mendapatkan rawatan di hospital berkenaan," ujarnya.

Menjawab satu soalan, katanya, terdapat tiga pelabur utama asing di koridor utara iaitu Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

0 comments:

Post a Comment