Masyarakat dunia khususnya golongan pencinta keamanan perlu terus memberi tekanan kepada Barat berhubung sikap berat sebelah mereka yang selama ini memihak kepada Israel biar pun bumi Palestin ditekan sejak sekian lama oleh rejim zionis.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, sikap memihak negara-negara Barat itu jelas ditunjukkan melalui laporan media mereka yang dilihat kian condong menyebelahi Israel meskipun jumlah kematian rakyat Palestin jauh lebih besar berbanding sekutu mereka itu.
"Jelas serangan terbaru yang dilakukan dalam bulan Ramadan ini berat sebelah tetapi pihak Barat seolah-olah menutup mata dan menyatakan rasa simpati terhadap Israel pula. Ini jelas menunjukkan mereka tidak bersikap adil kepada Palestin.
"Bagi kita umat Islam, usah pernah berhenti berdoa dan melakukan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan saudara kita di sana. Saya difahamkan memang sudah ada saranan supaya kita sama-sama melakukan solat hajat selepas solat Jumaat di seluruh negara termasuk di negeri Kedah ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menghadiri Program Perdana al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Kepada Ibu Tunggal anjuran Pergerakan Wanita UMNO negeri di Dewan Seri Mentaloon di sini semalam. - UTUSAN ONLINE
0 comments:
Post a Comment