Thursday 24 July 2014

DEWAN RAKYAT USUL KUTUK TINDAKAN MENEMBAK JATUH MH17.


Dewan Rakyat hari ini sebulat suara menyokong usul mengutuk tindakan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di timur Ukraine pada 17 April lalu.

Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Persidangan Khas Dewan Rakyat hari ini.

Seramai 22 Ahli Parlimen daripada pihak penyokong kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menggulung perbahasan turut mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang membahaskan dan menyokong usul yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ahli-ahli Parlimen tanpa mengira agama, bangsa atau haluan politik bersepakat menyokong usul tersebut kerana nahas yang menimpa pesawat MH17 adalah tragedi berdarah yang amat memilukan dan menyayat hati seluruh rakyat.

"Seluruh rakyat mengecam sekeras-kerasnya perbuatan jenayah kejam lagi tidak berperikemanusiaan menjatuhkan pesawat MH17 oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kita bersatu dalam kesedihan mengenangkan nasib para penumpang dan anak kapal pesawat malang berkenaan," katanya.

Muhyiddin menambah, kerajaan telah menubuhkan pasukan penyiasat khas yang dianggotai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk membolehkan siasatan dimulakan segera.

Beliau memberitahu, pada masa sama, kerajaan sedar bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan atau tangkapan di mana-mana negara lain.

"Siasatan ke atas perkara ini dan bidang kuasa ke atas penjenayah tersebut hanya akan dapat dilaksanakan sekiranya terdapat kerjasama serta komitmen sebenar daripada negara-negara dan pihak-pihak yang berkaitan," ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi tujuan itu, Malaysia akan menggunakan undang-undang jenayah yang mempunyai bidang kuasa jenayah luar wilayah termasuk Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Penerbangan 1984.

Bagi menjawab celahan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang bertanya sama ada terdapat konsesi dalam rundingan di antara kerajaan Malaysia dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di Ukraine, Muhyiddin menjelaskan, tiada syarat tambahan selain daripada tiga persetujuan yang dicapai menerusi rundingan tersebut.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beritahu kepada saya tiada apa-apa. Tidak ada lebih, tidak ada kurang.

"Tiada apa-apa erti lain seperti tuntutan dan seumpamanya, itulah yang diterima beliau daripada pemimpin kanan kumpulan pemberontak, Alexander Borodai," jelasnya.

Ditanya apa yang boleh dikatakan beliau terhadap pihak yang terbukti melakukan jenayah menembak MH17, kata Muhyiddin: "Tiada maaf bagimu."

Tragedi MH17 itu mengorbankan 298 penumpang, termasuk anak kapal.



0 comments:

Post a Comment