Tuesday 21 April 2015

JIHAD MEMBASMI KEMISKINAN BERJAYA, SAMBUTAN JUBLI PERAK YBK SEMALAM.

Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) sebuah NGO yang membantu kerajaan membasmi kemiskinan di Malaysia, hari ini secara rasminya mengisytiharkan bahawa Kerajaan Malaysia telah berjaya dalam jihadnya membasmi kemiskinan di negara ini.

Ini berikutan daripada pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui piawaian Bank Dunia, yang menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara yang bebas daripada kemiskinan sejak tahun 2007 apabila kadar pendapatan penduduk di bawah US$1.25 sehari adalah sifar.

Datuk Zainal Abidin Sakom, Pengerusi YBK, membuat pengistiharan tersebut semasa majils makan malam sempena sambutan jubli perak YBK yang diadakan malam tadi dengan disaksikan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri, yang merupakan tetamu khas pada majlis tersebut.

"Kadar kemiskinan rakyat Malaysia adalah sebanyak 70 peratus semasa negara baru mencapai kemerdekaan pada 1957, kini telah berkurangan kepada 1.7 peratus pada tahun 2014 dan dijangka akan kepada satu peratus pada penghujung tahun 2015.

"Berdasarkan fakta dan asas yang disebutkan, YBK ingin menzahirkan secara terbuka bahawa Kerajaan Malaysia telah berjaya melaksanakan tanggungjawab Jihad Membasmi Kemiskinan dengan amat cemerlang," kata Datuk Zainal Abidin Sakom.

Kejayaan kerajaan dalam membasmi kemiskinan adalah jauh lebih baik berbanding pencapaian negara-negara lain di rantau ini dan juga negara-negara yang telah mencapai kemerdekaan sebelum Malaysia.

Majlis makan malam tersebut, yang merupakan acara utama kepada sambutan jubli perak YBK, turut menyaksikan pelancaran buku mengenai liku-liku perjalanan suku abad YBK yang berjudul " Joran Di Laut Biru 25 Tahun YBK" hasil tulisan Datuk Bing Selamat Amir, salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK.

"Setelah 25 tahun, terlalu banyak sumbangan YBK dan terlalu ramai mereka yang telah mendapat sentuhan budi dari yayasan ini melalui program-program sosio-ekonomi dan pembangunan modal insan kami."

Kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis makan malam tersebut, termasuk wakil-wakil organisasi serta individu yang telah bersama YBK dalam memerangi kemiskinan, alumni Asrama Kasih YBK, alumni pusat-pusat latihan YBK dan lain-lain yang telah ataupun sedang menerima sentuhan kasih dari YBK.

Puan Siti Fatimah Murad, 59 tahun, adalah seorang pengusaha makanan ringan dari program Desa Kasih YBK yang telah berjaya membesarkan sembilan orang anak sehingga beliau berjaya keluar dari kepompong kemiskinan telah dipilih untuk menerima Anugerah Khas YBK dari Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.











0 comments:

Post a Comment